SERAHLAH HARTA YANG DIJUMPAI KE BAITULMAL MAIS
Tahukah anda bahawa Baitulmal merupakan badan berautoriti yang bertanggungjawab untuk memegang amanah bagi harta atau barang yang dijumpai oleh mana-mana orang Islam.
Harta atau barang yang dijumpai diistilahkan sebagai harta luqatah atau dari segi definisi berdasarkan hukum syarak ialah harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga, dan penemu tidak mengenali pemiliknya.
Dalil-dalil berkaitan harta luqatah adalah seperti berikut:
i. Hadis daripada Zaid bin Khalid r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “ Kenalilah ikatan atau bungkusannya, kemudian umumkan selama setahun, jika kamu tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan kamu.
Jika pemiliknya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah kamu serahkan kepadanya” (Riwayat Muslim)
ii. Hadis daripada Mujahid bin Jabr r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud “Tidak halal luqatah nya kecuali bagi orang yang akan mengumumkannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
iii. Hadis daripada Jarir bin Abdullah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud “ Orang yang mengambil barang yang hilang adalah berdosa selagi dia tidak mengumumkannya.” (Riwayat Ahmad)
Harta luqatah terletak bidang kuasanya di bawah Baitulmal kerana ia adalah sebahagian daripada harta yang tertakluk kepada hukum syarak.
Ia sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 81(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, "Baitulmal hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Baitulmal."
Fatwa Negeri Selangor bertarikh 16 Mac 2011 telah mewartakan hukum pelaksanaan dan pelupusan harta luqatah yang disimpan oleh Majlis Agama Islam Selangor. Fatwa tersebut menyatakan bahawa:
"Perlaksanaan pengurusan dan pelupusan Harta Luqatah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:
(i) Setiap Harta Luqatah yang diterima hendaklah dilaksanakan proses hebahan selama satu tahun. Sekiranya telah tamat tempoh selama satu tahun, maka bolehlah melupuskan Harta Luqatah tersebut secara lelongan dan hasil dari lelongan itu dimasukkan ke dalam Baitulmal;
(ii) Harta Luqatah yang tidak mendatangkan manfaat hendaklah disimpan di tempat yang selamat;
(iii)Sekiranya Harta Luqatah tersebut sama ada masih kekal atau telah dilelong atau telah dicairkan, pemiliknya berhak menuntut walau pun telah tamat tempoh hebahannya. Pihak Majlis Agama Islam Selangor hendaklah memulangkan semula sekiranya harta tersebut masih ada atau nilai barang (mengikut nilai semasa) jika telah dilelong atau dicairkan;
(iv)Pemungut atau pemegang amanah Harta Luqatah harus mengenakan caj perkhidmatan yang munasabah kepada pemilik Harta Luqatah tersebut sekiranya pemilik hadir untuk memungut harta;
(v) Harta Luqatah tersebut harus diserahkan kepada Baitulmal sebagai pemegang amanah. Adalah menjadi kewajipan menyerah kepada Baitulmal apabila tiada individu atau agensi yang sanggup menjadi pemegang amanah; dan
(vi)Harta Luqatah tersebut menjadi milik sepenuhnya kepada pemegang amanah atau pemungut untuk manfaatkan kepada perkara yang tidak bercanggah dengan syarak dan ada kemaslahatan kepada umat Islam."
Oleh yang demikian, kami mengajak kepada seluruh umat Islam di negeri Selangor supaya menyerahkan mana-mana harta atau barang termasuk wang yang dijumpai ke Baitulmal, MAIS.
Serahan boleh dibuat di Bahagian Harta Baitulmal MAIS atau pejabat-pejabat Baitulmal Daerah. Layari www.mais.gov.my untuk maklumat lanjut.
Sumber: Facebook Majlis Agama Islam Selangor
Comentários