top of page

Kajian Dapati 92 Peratus Pembeli Elak Rumah Kawasan Banjir

Writer:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT



HARTANAH | Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 PropertyGuru Malaysia mendedahkan sebanyak 92 peratus daripada responden dalam kajian menekankan banjir sebagai kebimbangan utama mereka, manakala 83 peratus bimbang dengan tanah runtuh.

Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my) berkata kajian turut mendapati menunjukkan bahawa pembeli rumah bimbang banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di seluruh Malaysia tahun lalu akan memberi kesan kepada hartanah dalam jangka panjang.


"Dengan kesedaran alam sekitar merekodkan aliran menaik, pengguna kini mencari rumah dan ciri-ciri lestari sebagai pertimbangan utama semasa membeli rumah," kata Sheldon Fernandez dalam kenyataan media pada 8 September 2022.


Pembeli Minat Rumah Miliki Ciri Mampan, Masa Depan

Beliau berkata, responden kaji selidik turut menyatakan bahawa panel solar, penuaian air hujan dan pengkomposan sisa makanan adalah ciri penting yang perlu dimiliki pada masa hadapan.


Selain itu, katanya satu daripada tiga responden daripada kumpulan berpendapatan tinggi sanggup membayar lebih untuk hartanah dengan port pengecasan kenderaan elektrik (EV).


"Walaupun lokasi sentiasa menjadi salah satu pertimbangan utama bagi pencari rumah di Malaysia, kita akan dapat melihat lebih ramai orang semakin mengutamakannya berikutan kejadian banjir pada tahun lalu.


"Kesedaran yang lebih tinggi terhadap kemudahan dan ciri mesra alam juga mungkin dikaitkan dengan isu perubahan iklim yang berterusan. Pengguna kini lebih peka terhadap isu semasa dan kini membuat keputusan mesra alam dengan harapan dapat melakukan perubahan.


"Memandangkan ramai yang kehilangan dan kerosakan rumah tahun lalu, amat jelas bahawa bencana alam ini telah memberi kesan yang berkekalan, apabila 66 peratus responden berkata mereka sanggup membayar premium insurans yang lebih tinggi ke atas hartanah untuk kesan perubahan iklim kerana tiada siapa yang dapat meramalkan rumah mereka akan dilanda banjir atau sebarang bencana alam", katanya.


51 Peratus Responden Tidak Layak Skim Perumahan Mampu Milik

Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 PropertyGuru Malaysia turut mendedahkan bakal pembeli rumah menghadapi masalah kemampuan apabila 51 peratus responden tidak layak untuk skim perumahan mampu milik kerajaan dan tidak mampu membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.


Dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Julai 2022 dan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat kepada paras tertinggi sehingga 4.4 peratus tahun ke tahun, bakal pembeli rumah mungkin akan terus berdepan dengan isu kemampuan dan kebimbangan berhubung kemelesetan global dan kadar inflasi yang berterusan.


Ini terbukti dalam kajian PropertyGuru Malaysia itu, dengan kira-kira separuh daripada responden yang dikaji menyatakan bahawa mereka tidak layak untuk skim perumahan kerajaan dan mungkin tidak mampu untuk membeli hartanah tanpa bantuan.


Dalam kajian itu, 73 peratus daripada responden mempunyai pemahaman yang jelas mengenai syarat kelayakan untuk perumahan mampu milik, menunjukkan bahawa bakal pembeli rumah akan terus mencari inisiatif perumahan kerajaan yang lain untuk membantu perjalanan pemilikan rumah.


Beliau menjelaskan seperti dilihat dalam Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022, pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap inisiatif kerajaan dan kelayakan untuk perumahan mampu milik.


Sheldon berkata ia akibat kemelesetan, inflasi, kenaikan harga dan kenaikan OPR yang berterusan dijangkakan bakal pembeli rumah terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga keseluruhan kos sara hidup kembali stabil.


"Dengan pembentangan Bajet 2023 yang akan datang tidak lama lagi, kami berharap akan ada peruntukan yang boleh membantu memacu pasaran hartanah dan membantu mereka yang merancang untuk memulakan perjalanan pemilikan rumah.


"Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 juga telah menunjukkan bahawa lebih 69 peratus daripada mereka yang ditinjau merancang untuk membeli rumah jika Kempen Pemilikan Rumah dihidupkan semula," katanya.




 
 
 

Comments


IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page