top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Untung Bersih Petronas Dagangan Meningkat Berganda Kepada RM529.75 juta Pada 2021


Petronas Dagangan


Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd (PetDag) meningkat hampir berganda kepada RM529.75 juta dalam tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2021 daripada RM275.96 juta pada tahun sebelumnya.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 22 Februari 2022 berkata trend harga Means of Platts Singapore (MOPS) yang bertambah baik semasa tahun terbabit menyokong peningkatan prestasi keuntungan kumpulan, kata peruncit produk petroleum itu.


Hasil juga meningkat sebanyak 23 peratus kepada RM22.51 bilion daripada RM18.71 bilion sebelumnya apabila purata harga jualan melonjak sebanyak 23 peratus sejajar dengan peningkatan trend harga MOPS, kata PetDag


"Peningkatan itu, bagaimanapun, diimbangi sedikit oleh penurunan kuantiti jualan sebanyak 2 peratus," katanya.


Syarikat itu berkata, hasil segmen runcit meningkat sebanyak RM1.43 bilion kepada RM12.61 bilion, disumbang terutama oleh peningkatan dalam purata harga jualan sebanyak 16 peratus meskipun kuantiti jualan rendah tiga peratus susulan impak penuh daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Sementara itu, hasil daripada segmen komersialnya meningkat sebanyak 31 peratus, atau RM2.35 bilion, kepada RM9.87 bilion, disumbang oleh peningkatan 33 peratus purata harga jualan meskipun penurunan satu peratus dalam kuantiti jualan.


Bagi suku keempat 2021, PetDag mencatatkan keuntungan bersih RM137.19 juta berbanding RM89.21 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil berjumlah RM7.06 bilion daripada RM4.39 bilion sebelumnya.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata penarikan semula sekatan perjalanan dan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi mempercepatakan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan syarikat itu pada suku berkenaan.


"Kami juga mula mengukuhkan strategi bersiap siaga yang bertujuan untuk memastikan PetDag kekal mampan dan relevan pada tahun-tahun mendatang.


"Ini termasuk mempelbagaikan portfolio kami selaras dengan trend masa depan yang boleh dijangka dalam mejangkakan permintaan pengguna yang berubah-ubah, terutama dalam bidang tenaga lestari dan inovasi digital," kata Azrul Osman Rani dalam kenyataan media.


Pada masa depan, Azrul berkata PetDag kekal berhati-hati bagi tahun 2022 ini dan akan memanfaatkan petanda positif peningkatan perbelanjaan pengguna, pertumbuhan pasaran secara beransur-ansur yang dipacu oleh pengembangan belanjawan negara 2022, peningkatan harga minyak mentah dan kelonggaran serta penarikan semula sekatan yang menjadi pemangkin bagi pemulihan ekonomi lebih kukuh.


Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim 26 sen sesaham bagi suku terbabit, dengan jumlah pembayaran RM258.30 juta.


Bagi Tahun Kewangan 2021, PetDag mengisytiharkan jumlah dividen 70 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran 102 peratus.



6 views0 comments

Comments


bottom of page