top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

CEBR Ramal 2023 Tahun Ekonomi Dunia Meleset




Ekonomi dunia berkemungkinan menghadapi kemelesetan pada tahun 2023 akibat kenaikan kadar faedah sebagai tindak balas kepada inflasi lebih tinggi, demikian menurut Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR).

Pengarah dan Ketua Peramalan CEBR berkata, bank-bank pusat amat lambat untuk menyedari skala masalah inflasi yang diberi amaran oleh pihaknya sebelum ini, menyebabkan kenaikan kadar faedah dibuat secara tiba-tiba.


"Berita baiknya adalah inflasi sepatutnya menurun dengan cepat, namun berita buruknya adalah banyak negara berdepan kemelesetan sebelum inflasi turun," kata Kay Daniel Neufeld dalam laporan Jadual Liga Ekonomi Dunia (WELT) 2023.


Edisi terkini WELT 2023, dihasilkan oleh CEBR, peramal ekonomi antarabangsa yang berpangkalan di London.


Ia adalah laporan tinjauan ekonomi dunia tahunan ke-14 diterbitkan CEBR.


WELT menjejaki saiz ekonomi yang berbeza di seluruh dunia dan mengunjurkan perubahan dalam tempoh 15 tahun akan datang, sehingga 2037.


Dalam laporan itu, CEBR menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan terus pulih.


"Kami menganggarkan bahawa KDNK akan berjumlah AS$102 trilion untuk tahun 2022 secara keseluruhan dan akan berganda kepada AS$206 trilion pada 2037.


"Namun dalam jangka pendek, terdapat kemungkinan kemelesetan pertumbuhan pada tahun 2023 akibat daripada inflasi yang tinggi pada 2022.


"Apa yang akan memacu pertumbuhan ini adalah pengembangan berterusan dalam ekonomi yang sebelum ini kurang membangun apabila mereka mengejar dan mengatasi negara yang secara tradisionalnya lebih kaya," katanya.


Tambah laporan itu, salah satu perubahan terbesar sejak tahun lalu ialah pandangan mereka terhadap China.


Dua tahun lalu, katanya mereka menjangkakan China akan memintas Amerika Syarikat (AS) pada 2028.


"Tahun lalu, kami mengubah unjuran itu kepada 2030. Kami kini berpendapat bahawa ia akan mengambil masa sehingga 2036 untuk China mengatasi ekonomi AS.


"Pandangan yang disemak ini mencerminkan peningkatan kesan terhadap ekonomi China akibat dasar sifar COVID-19 negara itu, selain peningkatan ketegangan perdagangan antara China dan Barat," katanya.

4 views0 comments

Comentarios


bottom of page