top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Untung Bersih Nestlé Melonjak 15.3 Peratus Kepada RM148 juta


Grafik Sumber: Facebook Nestle


Nestlé (Malaysia) Bhd mencatatkan prestasi menggalakkan pada suku ketiga berakhir 30 September 2021 dengan keuntungan bersihnya meningkat 15.3 peratus kepada RM148 juta.

Pada suku itu, pendapatannya meningkat 3.6 peratus kepada RM1.44 bilion berbanding RM1.39 bilion suku sama tahun sebelumnya.


Ia berikutan pertumbuhan jualan kukuh dalam pasaran domestik dan eksport, dengan masing-masing meningkat 3.4 peratus dan 4.5 peratus dipacu perniagaan makanan dan minuman (F&B) kumpulan yang menjana pertumbuhan 5.5 peratus pada suku dikaji.


Prestasi memberangsangkan itu dicapai meskipun syarikat dihimpit kesan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada suku ketiga 2021, yang menjejaskan perniagaan Di Luar Rumah (OOH) di bawah Nestlé Professional.


Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia berkata hasil kecekalan dan usaha gigih pasukan, kumpulan berjaya mencatatkan prestasi suku tahunan yang memberangsangkan walaupun menghadapi pelbagai sekatan operasi.


"Kami mengendalikan operasi dengan selamat dan terus memastikan bekalan dapat memenuhi permintaan kukuh bagi jenama, di samping meningkatkan inovasi produk dan menggiatkan langkah pemuliharaan alam sekitar," kata Juan Aranols dalam kenyataan media pada 2 November 2021/Selasa.


Pada suku ketiga 2021, kumpulan mempelopori beberapa inovasi produk menarik termasuk Nescafé Sedia Diminum Edisi Terhad (Gula Melaka, Pandan dan Ros Bandung), Nescafé Ice Caffé Latte, Kit Kat Chunky Raisin & Cookie dan Aiskrim Nestlé Onde Onde.


Usaha mengembangkan jenama produk berasaskan tumbuhan Harvest Gourmet dan minuman Milo Dan Nescafé Tanpa Susu diteruskan, manakala pelancaran Teh Lively di seluruh negara semakin mendapat perhatian.


Peningkatan keuntungan pada suku ketiga 2021 didorong terutama oleh hasil lebih tinggi dan juga perbelanjaan pemasaran lebih rendah, memandangkan aktiviti pemasaran terjejas oleh PKPD yang berkuat kuasa pada suku ketiga 2021, berbanding suku ketiga 2020, yang mana sekatan mula dilonggarkan semasa PKP Pemulihan (PKPP).


Tahap keuntungan lebih tinggi diimbangi sedikit sebanyak oleh harga komoditi lebih tinggi dan perbelanjaan berkaitan COVID-19 yang agak besar pada suku ketiga 2021, disebabkan kos program saringan antigen COVID-19 yang dijalankan secara berterusan oleh kumpulan, bekalan peralatan perlindungan diri untuk kakitangan dan langkah keselamatan COVID-19 lain untuk memastikan pengawalan dan pencegahan jangkitan di tempat kerja.


Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM4.27 bilion berbanding RM4.04 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.


Pencapaian itu dipacu terutama oleh jualan domestik yang meningkat 6.3 peratus, berlandaskan pertumbuhan 6.2 peratus dalam perniagaan F&B runcit.

1 view0 comments

Comments


bottom of page