top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Trafik Penumpang Udara Melonjak Pada November 2021



Jumlah penumpang udara meningkat di semua rangkaian lapangan terbang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat iaitu sebanyak 2.3 juta individu pada November 2021.

Angka itu juga antara tertinggi sejak perjalanan udara terjejas disebabkan sekatan pergerakan bagi menangani pandemik COVID-19.


Pengarah Urusan MAHB dalam kenyataan media pada 15 Disember 2021/Rabu berkata kadar penumpang pada November itu adalah peningkatan sebanyak 77 peratus berbanding 1.3 juta penumpang pada Oktober 2021.


Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, lonjakan itu disebabkan langkah kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan dan membenarkan perjalanan rentas negeri.


Daripada jumlah itu katanya, 2.15 juta adalah penumpang domestik, menokok 82 peratus berbanding 1.18 juta penumpang pada bulan sebelumnya.


Katanya, seiring dengan peningkatan pergerakan penumpang, terdapat juga lonjakan pergerakan pesawat domestik yang meningkat 43 peratus kepada 27,084 pada November berbanding 18,966 pada Oktober.


Pergerakan penumpang bagi operasi MAHB di Malaysia dan Turki katanya turut mencatatkan peningkatan 15 peratus daripada Oktober kepada 4.72 juta penumpang dengan operasi kumpulan di Malaysia menyumbang 49 peratus kepada prestasi keseluruhan.


"Permintaan yang menggalakkan bagi perjalanan domestik dalam tempoh dua bulan yang lalu adalah berita baik bukan saja untuk sektor penerbangan.


"Ia turut memberikan pemulihan berkala kepada rakan kongsi runcit serta makanan dan minuman (F&B) kami," katanya.


Iskandar berkata, permulaan semula operasi runcit dan F&B di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali meningkat sebanyak lebih 63 peratus.

Beliau berkata, ia adalah hasil positif daripada inisiatif pelaksanaan semula operasi komersial di lapangan terbang MAHB.


Katanya, beberapa cawangan melalui pengubahsuaian besar-besaran dan penempatan semula ke ruang lebih besar selaras dengan matlamat penetapan semula komersial iaitu untuk meningkatkan pengalaman penumpang dan tawaran runcit.


Ruang komersial kini katanya bukan saja lebih luas tetapi menggabungkan elemen digital seperti kiosk pesanan sendiri dan perkhidmatan meja melalui kod QR untuk memastikan perkhidmatan lebih pantas serta meminimumkan sentuhan fizikal.


Bagi operasi kumpulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul, Turki (ISG) pula katanya, ia secara konsisten mencatatkan lebih daripada dua juta penumpang sebulan sejak beberapa bulan lalu.

"Kadar vaksinasi yang tinggi dan keperluan kuarantin lebih santai di Turki terus memacu pergerakan penumpang antarabangsa.


"Pada November, ISG mencatatkan 1.03 juta penumpang antarabangsa, menyumbang hampir 43 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang.


"MAHB kekal optimis dengan operasi kami berdasarkan kepada tanda awal pemulihan dalam tempoh dua bulan lalu, serta jangkaan peningkatan pergerakan penumpang pada beberapa bulan akan datang," katanya.

2 views0 comments

댓글


bottom of page