top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Touch 'n Go, AIA Tawar Pelan Insurans WalletSafe Serendah RM1


Sumber Grafik: Touch 'n Go

Touch 'n Go Group menerusi TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), pemilik dan pengendali Touch 'n Go eWallet menjalinkan kerjasama strategik dengan AIA Malaysia (AIA) dengan melancarkan pelancaran produk insurans pertama dikenali WalletSafe.

Ditawarkan pada harga pengenalan RM1, WalletSafe ialah pelan insurans selama enam bulan yang melindungi pengguna Touch 'n Go eWallet sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau COVID-19 dan membayar sehingga 10 kali ganda baki amaun Touch 'n Go eWallet (maksimum RM25,000) mereka.


Ia juga menyediakan perlindungan tambahan untuk transaksi tidak sah yang dilakukan melalui akaun eWallet dan GO+ sehingga RM25,000.


Semua perlindungan itu ditawarkan sebagai tambahan kepada manfaat Jaminan Pulangan Wang yang disediakan oleh Touch 'n Go eWallet untuk pengguna yang disahkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch 'n Go Group berkata WalletSafe adalah produk pertama di pasaran yang mengikat perlindungan insurans dengan baki eWallet.


"Kami amat gembira dapat menawarkan penyelesaian baharu yang menarik ini dengan harga RM1 sahaja kepada pengguna eWallet kami.


"Melalui penggunaan teknologi dan inovasi secara efektif, bersama-sama dengan AIA Malaysia, kami dapat memberikan nilai yang lebih tinggi serta tawaran produk yang direka khusus buat pengguna.


"Tambahan pula, produk ini bukan hanya membolehkan pengguna menikmati ketenangan fikiran, tetapi juga menggalakkan mereka untuk menabung melalui GO+ kerana mengetahui bahawa mereka mendapat perlindungan yang lebih tinggi sebanyak RM25,000," kata Effendy Shahul Hamid dalam kenyataan media pada 11 November 2021/Khamis.


Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM), transaksi e-dompet telah meningkat sebanyak 131 peratus pada 2020, membabitkan 600 juta transaksi, berbanding 300 juta transaksi pada 2019.

"Selain itu, lebih banyak pedagang telah mendaftar untuk menerima e-pembayaran dengan pembayaran kod Tindak Balas Pantas (QR). Touch 'n Go eWallet sudah diterima di lebih daripada sejuta titik penerimaan pedagang DuitNow QR," tambah Effendy.


Menurut Effendy, melalui pengalaman yang lancar dan mudah, pengguna boleh melanggan WalletSafe secara terus dari Touch 'n Go eWallet dan akan diinsuranskan dengan serta-merta.


"Urusan tuntutan juga lebih mudah dan pantas kerana keseluruhan proses dilakukan secara dalam talian," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Ben Ng berkata, pihaknya menawarkan produk mampu milik dengan nilai perlindungan yang tinggi kepada lebih 16 juta pengguna rakan kongsi kami yang dapat dinikmati secara eksklusif sebagai pelanggan Touch 'n Go eWallet.

"Produk yang kami lancarkan hanyalah permulaan kepada perjalanan jangka panjang dan menarik kami bersama Touch 'n Go dalam menyediakan penyelesaian baru, inovatif dan diperibadikan untuk membantu pengguna mereka hidup lebih sihat, berpanjangan dan bermakna," katanya.


Julai lalu, TNG Digital dan AIA membentuk perkongsian strategik jangka panjang yang membolehkan AIA menawarkan penyelesaian insurans digital kepada pengguna Touch 'n Go eWallet, syarikat e-dompet terbesar di Malaysia.


WalletSafe adalah produk pertama yang dilancarkan susulan pengumuman berkenaan.

1 view0 comments

Comments


bottom of page