top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

TM Pindah Pelanggan Unifi Ke IP Peribadi, Sambungan Lebih Lancar & Selamat



Telekom Malaysia Bhd (TM) mula memindahkan pelanggan unifi ke Protokol Internet (IP) peribadi bagi membolehkan sambungan lebih lancar dan keselamatan lebih terjamin.

Syarikat telekomunikasi itu dalammkenyataan media pada 15 Oktober 2021/Jumaat berkata, dengan peningkatan ketara penggunaan internet, penyedia perkhidmatan internet (ISP) di seluruh dunia berdepan dengan kekurangan alamat IPv4.


Katanya, peralihan itu membabitkan pelanggan unifi yang melanggan pakej unifi 30Mbps, 50Mbps dan 100Mbps dan kini menggunakan alamat IPv4 awam yang dinamik.


"Pelanggan ini sedang dialihkan ke IP peribadi, yang akan membolehkan mereka menikmati sambungan yang lebih lancar di dalam persekitaran yang lebih terjamin.


"Proses ini akan dilaksanakan secara jarak jauh oleh pihak kami, oleh itu, tiada sebarang tindakan perlu diambil oleh pelanggan yang terbabit dengan proses peralihan ini," katanya.


TM berkata, pelanggan yang menggunakan CCTV berasaskan IP dan pengehosan yang dikenal pasti, tidak terjejas kerana mereka dikecualikan daripada aktiviti peralihan itu.


Ia berkata, aktiviti itu sedang berjalan, dengan tempoh gangguan minimum sekiranya ada iaitu antara dua hingga lima minit.


Katanya, setelah aktiviti peralihan berkenaan selesai sepenuhnya, prestasi sambungan internet pelanggan tidak terjejas dan kesemua pelanggan terbabit dimaklumkan terlebih dulu berkenaan aktiviti itu.


"Kami percaya aktiviti ini dapat memberikan lebih jaminan keselamatan kepada pelanggan unifi kami semasa mereka melayari internet atau menggunakan alatan dan aplikasi dalam talian.


"Kami di TM sentiasa meningkatkan dan memperbaiki penawaran produk kami untuk memenuhi keperluan dan penggunaan pelanggan daripada pelbagai segmen yang sentiasa berubah," katanya.

5 views0 comments

Comments


bottom of page