top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

TM Iklankan Jual Menara TM 55 Tingkat, Harga Tidak Diumum


Sumber Foto: TM


HARTANAH | Telekom Malaysia Bhd (TM) mengiklankan tawaran jualan aset miliknya iaitu Menara TM yang terletak di pusat koridor KL Sentral-Bangsar namun harga ditawarkan tidak didedahkan.

Dalam iklan disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 9 Februari 2022 menyatakan tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac 2022.


Bangunan siap dibina oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd pada 2001 berstatus pegangan bebas itu ketika ini dihuni sepenuhnya.


Ia menawarkan menara pejabat berkeluasan 989,000 kaki persegi, pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan pelbagai guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.


Menara berkenaan dibina dengan kos sekitar AS$160 juta (RM669.3 juta) juga memiliki lebih 1,700 lot parkir turut terletak berhampiran infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti.


Bangunan yang ketika ini menjadi ibu pejabat TM itu terletak berhampiran dengan KL Sentral, Mid Valley City, KL Eco City dan Bangsar South.


Menara TM memiliki status MSC iaitu simbol kepada perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.


WTW Real Estate Sdn Bhd adalah ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu.



Sumber Foto: Twitter


Sementara itu Telekom Malaysia Bhd (TM) pada 9 Februari 2022/Selasa menjelaskan bahawa ia merupakan penyewa di Menara TM yang terletak di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan media, TM turut menegaskan bahawa ia bukan pemilik bangunan itu dan tidak terbabit langsung dalam usaha jualan oleh pemilik hartanah tersebut, Menara ABS Bhd.


“Syarikat kini dalam proses menempatkan semula sebahagian besar daripada pejabat korporat TM di hartanah miliknya, termasuk TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta di Cyberjaya.


“Ini merupakan sebahagian daripada usaha pengoptimuman syarikat bagi mempertingkat kecekapan dan ketangkasan selain selaras dengan persekitaran kerja secara hibrid,” katanya.



27 views0 comments

Comments


bottom of page