top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

TM, Astro Tawar Khidmat Digital Kualiti Tinggi




Telekom Malaysia Bhd (TM) dan anak syarikat milik penuh Astro Malaysia Holdings Bhd, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd memeterai perjanjian untuk bekerjasama membawakan pengalaman digital berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.

Kedua-dua syarikat dalam skenyataan bersama pada 29 September 2021/Rabu berkata menerusi kerjasama strategik ini, TM menerusi TM WHOLESALE menyediakan himpunan lengkap penyelesaian infrastruktur dan sambungan merangkumi kesemua peringkat perkhidmatan borong termasuklah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), 'bandwidth', 'backhaul' dan akses Internet kepada Astro.


Infrastruktur rangkaian fiber yang meluas dan mantap ini akan membolehkan TM serta Astro menyediakan sambungan berkualiti tinggi yang diyakini kepada pengguna akhir masing-masing.


Kerjasama turut menzahirkan komitmen kedua-dua syarikat menyokong inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi menyediakan liputan jalur lebar yang lebih meluas dan pengalaman lebih baik di seluruh negara.


Katanya menerusi perkhidmatan HSBB TM, Astro turut berupaya menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada pelanggan tanpa perlu membangunkan infrastruktur baharu sambil memperluaskan liputan ke kawasan lebih luas di seluruh negara melalui rangkaian fiber.


Menurut kenyataan itu lagi, bagi perkhidmatan internet, penyelesaian akses internet TM membolehkan Astro menawarkan sambungan internet berprestasi tinggi dan penyelesaian menyeluruh kepada pelanggan.


"Bagi melengkapkan perkhidmatan itu, TM akan turut menyediakan Rangkaian Penyampaian Kandungan TM (TM CDN), iaitu sebuah perkhidmatan platform kandungan yang baru dibangunkan untuk memberikan kandungan digital yang lebih lancar, pantas dan selamat kepada Astro.


"Ini membolehkan Astro meningkatkan kecekapan penstriman video bagi penawaran perkhidmatannya masa kini," katanya.


Perjanjian itu dimeterai pada 29 September 2021/Rabu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dan Naib Presiden Eksekutif TM WHOLESALE, Amar Huzaimi Md Deris, manakala Astro diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Henry Tan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Shafiq Abdul Jabbar.



6 views0 comments

Comments


bottom of page