top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Tempahan Kereta Diramal Catat Lonjakan - Kajian



Jualan kereta dijangka terus meningkat seiring pembukaan semula aktiviti ekonomi, terutama dengan jumlah tempahan yang tertunggak membabitkan beberapa model popular, kata penganalisis.

Kenanga Research dalam notanya pada 23 September 2021/Khamis berkata, jualan kereta pada September dijangka mengatasi jualan pada Ogos, berikutan peningkatan jumlah tempahan tertunggak bagi beberapa model popular, malah ada sebahagian model kenderaan yang tertunggak selama tiga bulan.


Katanya, jangkaan itu didorong oleh faktor bahawa kebanyakan industri, termasuk sektor automotif sudah meneruskan semula operasi walaupun pada tahap tertentu bergantung kadar vaksinasi dan prosedur operasi standard (SOP), sambil disokong usaha berterusan syarikat-syarikat kereta untuk meningkatkan jualan.


"Bagaimanapun, beberapa pengeluar masih terkesan oleh kekurangan cip di peringkat global, terutama disebabkan oleh sekatan pergerakan di negara tertentu," katanya.


Kenanga Research menjelaskan, pemulihan semula sektor automotif didorong oleh pengoperasian semula jualan dan pengeluaran kenderaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa satu, khususnya di negeri utama Selangor dan Kuala Lumpur.


"Kami mengekalkan sasaran jumlah jualan industri (TIV) 460,000 unit, lebih rendah berbanding sasaran 500,000 unit ditetapkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
"Kami menjangkakan pemulihan lebih mantap tahun depan dengan sasaran TIV bagi 2022 sebanyak 600,000 unit, hampir dengan sasaran TIV oleh MAA iaitu 605,000 unit," katanya.

Firma penyelidikan itu menambah, pertumbuhan TIV bagi 2022 dipacu jangkaan pemulihan ekonomi pasca sekatan pergerakan dan anggapan bahawa imuniti kelompok akan dicapai pada masa itu.


Katanya, perkembangan itu seterusnya membolehkan SOP dilonggarkan, sekali gus merangsang perjalanan domestik yang meningkatkan permintaan bagi kenderaan penumpang, khususnya jenama nasional mampu milik.


"Selain itu, beberapa pengeluar kenderaan memberi jaminan komitmen untuk menyerap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melangkaui Disember 2021," katanya.


TIV pada Ogos mencatatkan sebanyak 17,500 unit, meningkat 147 peratus berbanding bulan sebelumnya, namun 67 peratus lebih rendah berbanding bulan sama tahun lalu.

78 views0 comments

Comments


bottom of page