top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Teknologi 5G Potensi Jana RM122 Bilion, Sumbang 5% KDNK




Penggunaan teknologi 5G berpotensi membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak lima peratus atau RM122 bilion menjelang 2030.

Digital Nasional Bhd (DNB) dalam kenyataan media pada 16 November 2021/Selasa berkata, 5G juga menyokong penciptaan 148,000 peluang pekerjaan serta menyumbang kepada peningkatan dalam peratusan pekerjaan berkemahiran tinggi.


Katanya, peningkatan KDNK dan penciptaan pekerjaan dijangka bermula dengan pelancaran rangkaian borong tunggal (SWN) pada 2021 sebelum melonjak secara berterusan.


Unjuran itu, katanya berdasarkan laporan Ernst & Young Consulting Services Sdn Bhd (EY) mengenai potensi impak masa depan kepada ekonomi Malaysia ekoran pelancaran 5G melalui SWN dan penggunaan applikasi 5G.


"Jangkaan peningkatan dalam KDNK didorong peningkatan kecekapan dan produktiviti melalui transformasi digital 5G.


"Pembangunan industri digital dan kemasukan firma baharu ke dalam pasaran juga akan meningkatkan KDNK," katanya.


DNB menggunapakai teknologi 5G terkini, menyediakan kelebihan dari segi kelajuan, kualiti, kebolehpercayaan dan keupayaan berbanding rangkaian 5G generasi pertama global.


Liputan rangkaian itu akan mencapai 40 peratus kawasan berpenduduk pada 2022 sebelum meningkat kepada 70 peratus pada 2023.


DNB berkata, model ekonomi kedua EY pula menunjukkan pelaburan langsung DNB dalam rangkaian 5G boleh menjana sumbangan KDNK tambahan sebanyak RM20.9 bilion.


Daripada jumlah itu katanya RM7.9 bilion atau 38 peratus adalah berkaitan dengan KDNK yang dijana secara langsung oleh DNB melalui perbelanjaan kos operasi dan korporat.


Ia menambah, RM13 bilion lagi akan dijana sepanjang rantaian bekalan dan ekonomi yang lebih menyeluruh.


"Kemuncak pembangunan rangkaian 5G pada 2022, pelaburan DNB boleh menyokong lebih 14,800 pekerjaan melalui peningkatan permintaan rantaian bekalan sektor itu.


"Impak keseluruhan terhadap ekonomi Malaysia akan dijana oleh pelaburan swasta kerana kos melancarkan rangkaian 5G akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta melalui DNB, tanpa peruntukan, pembiayaan atau jaminan kerajaan," katanya.


DNB berkata, laporan EY itu turut mempertimbangkan manfaat sosio ekonomi dan alam sekitar yang boleh direalisasikan melalui langkah SWN.


Katanya, SWN akan membantu merapatkan jurang digital dan menyediakan platform persaingan yang lebih baik dari sudut ketersambungan.


"Membawa ketersambungan ke desa akan meningkatkan keterangkuman, menyediakan lebih banyak peluang untuk pendidikan, pembangunan kemahiran dan pekerjaan.


"Malah, ia akan menambah baik akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang kritikal. Ini akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi desa," katanya.

2 views0 comments

Комментарии


bottom of page