top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Stok Modal Kasar Malaysia Nilai RM5.2 Trilion Pada 2020




Stok Modal Kasar (SMK), yang menggambarkan pelaburan terkumpul aset tetap Malaysia, bernilai RM5.2 trilion dengan pertumbuhan 2.7 peratus pada tahun 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan media pada 16 November 2021/Selasa berkata Stok Modal Bersih (SMB) yang menggambarkan kekayaan ekonomi Malaysia tumbuh perlahan sebanyak 1.8 peratus dengan nilai RM3.2 trilion.


Katanya aset produktif yang diukur melalui Stok Modal Produktif (SMP) merekodkan RM4.2 trilion berbanding tahun sebelumnya RM4.1 trilion.


Sementara itu, Penggunaan Modal Tetap (PMT) yang menunjukkan nilai aset yang digunakan dalam proses pengeluaran pada tahun 2020 berjumlah RM227.0 bilion dengan pertumbuhan 1.9 peratus.


"Pertumbuhan yang perlahan bagi SMK, SMP dan SMB adalah kesan daripada pengurangan dalam pelaburan akibat daripada pandemik COVID-19 yang telah mempengaruhi prestasi semua aktiviti ekonomi.


"SMB bertumbuh dengan kadar yang lebih perlahan iaitu 1.8 peratus pada 2020 berbanding 3.6 peratus pada 2019 dengan merekodkan nilai RM3.2 trilion. Pertumbuhan SMB disokong oleh sektor Perkhidmatan, Perlombongan & pengkuarian dan Pembuatan," katanya.


Beliau menjelaskan sektor Perkhidmatan mencatatkan nilai aset tetap yang tertinggi berbanding aktiviti ekonomi lain, dengan nilai RM2.2 trilion dan sumbangan 67.8 peratus.


Manakala, sektor Perlombongan & pengkuarian menyumbang 17.3 peratus dan sektor Pembuatan 11.8 peratus kepada jumlah keseluruhan SMB.


Struktur kekal sebagai penyumbang utama kepada SMB sebanyak 80.2 peratus dan mencatatkan pertumbuhan 3.0 peratus.


"Jentera & peralatan merupakan penyumbang kedua tertinggi dengan 11.4 peratus, disokong oleh jentera & peralatan lain dan komputer dan diikuti oleh Aset lain dengan sumbangan sebanyak 8.4 peratus.


"Dari segi pertumbuhan, Jentera dan peralatan menyusut sebanyak 5.3 peratus manakala Aset lain tumbuh pada 0.6 peratus," katanya.




8 views0 comments

Comments


bottom of page