top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Sime Darby Labur RM120 Juta Bina Pusat 4S BMW Di Balakong


Sumber Grafik: Facebook

Sime Darby Bhd melabur lebih RM120 juta untuk membuka Pusat Pengedaran 4S BMW Auto Bavaria terbaharu di Balakong, Selangor yang dijangka dibuka kepada pelanggan pada suku pertama 2023.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya dalam kenyataan media pada 26 Oktober 2021/Selasa berkata pelaburan besar itu selaras dengan tahap keyakinan Sime Darby terhadap prospek dalam segmen automotif pada masa depan.


Mustamir Mohamad berkata suntikan pelaburan itu juga selaras dengan rancangan pertumbuhan strategik syarikat dalam menyediakan kemudahan canggih di Balakong seperti pusat pengedaran 4S BMW di Tebrau, Johor dan Pusat 4S BMW di Ara Damansara.


"Majlis pecah tanah hari ini mencerminkan komitmen kami untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan untuk tempoh jangka masa panjang," katanya.


Majlis pecah tanah berlangsung di Balakong disempurnakan oleh Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser.


Turut hadir, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan; Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan; dan Pengedar Prinsipal Auto Bavaria Balakong, Azrul Azman.


Sime Darby Auto Bavaria Sdn Bhd (Auto Bavaria) adalah anak syarikat bahagian automotif Sime Darby iaitu Sime Darby Motors.


Sementara itu, de Visser berkata BMW Group Malaysia mengenalpasti Balakong, Serdang, Cheras dan kawasan sekitarnya sebagai potensi baharu yang membolehkan jenama itu menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan ketika pasaran Lembah Klang terus berkembang.


"Auto Bavaria menjadi rakan pengedar penting kepada kami di Malaysia dan mereka adalah rakan kongsi premium dalam membantu BMW mencapai cita-cita di negara ini," katanya.


Sementara itu, Thim Juan berkata, Auto Bavaria komited untuk menjadikan pengalaman pemilikan premium dan janji jenama kumpulan BMW menjangkaui aspek pembelian.


"Dalam menetapkan penanda aras daripada pengedar terbaik BMW di dunia, kami akan terus melabur dalam aspek premis, perkhidmatan dan bakat baharu menerusi kejuruteraan semula sumber manusia serta program latihan semula tenaga kerja kami," katanya.


Auto Bavaria Balakong berkeluasan lebih 243,342 kaki persegi terletak di lokasi strategik sepanjang Lebuhraya SILK yang menawarkan akses selain direka dengan konsep terbaharu BMW Retail NEXT.


Ia turut dilengkapi kemudahan selepas jualan yang luas dengan 30 ruang produktif; pusat badan & cat; serta BMW Premium Selection.


Pelanggan dan peminat BMW di kawasan sekitar boleh mengunjungi bilik pameran BMW yang terletak di sepanjang Jalan Tengah, Cheras Selatan 118.


Kemudahan dua tingkat seluas 3,600 kaki persegi itu menampilkan bilik pameran yang mampu memaparkan sehingga tiga kenderaan dan ruang istirahat pelanggan di tingkat bawah, serta pejabat pentadbiran di tingkat satu.


2 views0 comments

Comments


bottom of page