top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Sektor Insurans, Takaful Catat Keuntungan Lebih Rendah




Sektor insurans dan takaful mencatat keuntungan keseluruhan lebih rendah pada separuh pertama 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan prestasi pelaburan yang lemah.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2021 yang dikeluarkan pada 29 September 2021/Rabu, berkata lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan sektor itu susut kepada RM3.7 bilion daripada RM4.7 bilion pada separuh pertama 2020.

Berikut adalah LAPORAN PENUH daripada Bank Negara Malaysia:


Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama Tahun 2021


Kestabilan kewangan domestik Malaysia masih terpelihara


Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menyiarkan Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk separuh pertama tahun 2021.


Sektor kewangan terus berdaya tahan

Kestabilan kewangan domestik terus disokong dengan kukuh oleh sektor kewangan yang berdaya tahan. Peningkatan peruntukan pada tahun 2020 telah memberikan bank-bank sedikit ruang pada tahun 2021 untuk mengurangkan jumlah peruntukan tambahan yang disediakan bagi kerugian kredit.


Keadaan ini membolehkan bank-bank melanjutkan lagi bantuan bayaran balik hutang kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas akibat sekatan pergerakan terkini dan pada masa yang sama mengekalkan aktiviti pemberian pinjaman.


Keadaan mudah tunai dan pendanaan sistem perbankan kekal menyokong aktiviti pengantaraan kewangan. Nisbah jumlah modal sistem perbankan kekal berada pada 18.4%. Penanggung insurans dan pengendali takaful juga pada amnya masih berada pada kedudukan yang baik untuk terus memberikan bantuan kepada individu dan perniagaan dengan memberikan fleksibiliti pada pembayaran premium dan caruman yang akan mengekalkan perlindungan mereka.


Nisbah kecukupan modal agregat industri melebihi tahap minimum pengawaseliaan pada 221%. Pasaran kewangan domestik kekal teratur serta terus menyokong keadaan pendanaan keseluruhan bank-bank dan syarikat korporat.


Sektor perniagaan menuju ke arah pemulihan

Gabenor Datuk Nor Shamsiah berkata, “Prestasi sektor perniagaan mula pulih menjelang suku kedua tahun 2021 berikutan pelonggaran sekatan pergerakan. Bahagian syarikat yang berisiko telah berkurang daripada kadar tertinggi sebelum ini yang dicatatkan pada tahun 2020.


Namun, bahagian ini kekal lebih tinggi daripada paras purata sebelum pandemik disebabkan oleh cabaran yang terus dihadapi oleh syarikat dalam sektor-sektor yang terjejas lebih teruk akibat sekatan pergerakan.”


Leveraj perniagaan keseluruhan juga telah bertambah baik sejajar dengan pembayaran balik hutang yang lebih tinggi oleh syarikat.


Walau bagaimanapun, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di seluruh negara menjelang akhir suku kedua tahun 2021 boleh menyaksikan peningkatan kewangan ini tertangguh, terutamanya dalam kalangan syarikat yang lebih kecil dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan serta memanjangkan tempoh kesukaran yang sememangnya telah menimbulkan cabaran kepada syarikat dalam industri berkaitan dengan pelancongan.


Keadaan ini boleh mengakibatkan tekanan semula terhadap keupayaan membayar balik hutang oleh syarikat yang lebih terjejas.


Program bantuan bayaran balik pinjaman serta langkah-langkah sokongan oleh Kerajaan dan BNM setakat ini telah membendung sebarang peningkatan kes mungkir pinjaman yang ketara.


Langkah-langkah sokongan ini juga membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi keadaan operasi yang mencabar ini dengan lebih baik.


Bahagian keseluruhan pinjaman PKS di bawah bantuan bayaran balik pinjaman meningkat kepada 21.6% daripada jumlah pinjaman PKS pada bulan Jun 2021, walaupun bahagian pinjaman yang mempunyai peningkatan risiko kredit yang ketara adalah lebih rendah iaitu pada 14.6%.


Bank-bank juga terus memberikan pinjaman kepada PKS yang berdaya maju, sementara pelbagai skim jaminan pembiayaan terus tersedia bagi melengkapi pemberian pinjaman bank secara langsung kepada segmen-segmen ini.


Sektor isi rumah terjejas akibat krisis pandemik namun memperlihatkan daya tahan kewangan

Walaupun kebanyakan peminjam isi rumah kekal berdaya tahan dengan nisbah khidmat hutang yang berhemat dan penampan kewangan yang mencukupi, sesetengah peminjam masih menghadapi tekanan kewangan yang lebih besar.


Berdasarkan simulasi, antara 11% hingga 15% daripada peminjam isi rumah mungkin perlu mengeluarkan penampan tunai mereka untuk membayar hutang. Daripada jumlah peminjam ini, sebanyak 1.9% berisiko menghabiskan penampan tunai mereka.


Bagi tempoh jangka pendek, feksibiliti yang diberikan kepada isi rumah untuk membuat pengeluaran awal simpanan persaraan telah menyediakan sumber dana tambahan untuk membantu mereka menghadapi kesukaran kewangan semasa.


Walau bagaimanapun, bagi tempoh yang lebih panjang, pengeluaran simpanan seperti ini boleh menyebabkan kesukaran yang lebih teruk kepada isi rumah yang kini tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan.


Sementara itu, peminjam yang menghadapi kesukaran terus diberikan sokongan melalui program bantuan bayaran balik pinjaman.


Bahagian peminjam isi rumah di bawah bantuan bayaran balik pinjaman meningkat dengan mendadak kepada 25.4% daripada jumlah akaun pinjaman isi rumah pada bulan Julai, selaras dengan bantuan bayaran balik pinjaman yang diberikan secara meluas oleh bank-bank.


Namun, keadaan ini dijangka menjadi bertambah baik apabila ekonomi dibuka secara beransur-ansur dan isi rumah melihat kurangnya keperluan untuk menambah penampan awasan (precautionary buffers).


Dedahan bank-bank kepada peminjam isi rumah yang berisiko lebih tinggi dengan penampan kewangan yang kurang mencukupi kekal rendah. Bank-bank telah menjalankan penilaian risiko yang bersesuaian dan terus memberikan pinjaman kepada peminjam yang layak.


Sistem kewangan domestik kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi kejutan dan menyokong pemulihan ekonomi


Ekonomi dijangka pulih secara beransur-ansur menjelang tahun 2022. Walau bagaimanapun, prospek pemulihan ekonomi dalam negeri dijangka tidak sekata merentas sektor dan terus bergantung pada tahap ketidakpastian berikutan perkembangan berhubung dengan COVID-19 pada peringkat global dan dalam negeri.


Bank-bank terus meningkatkan peruntukan bagi kerugian kredit berikutan jangkaan bahawa pinjaman terjejas akan bertambah apabila program bantuan bayaran balik pinjaman ditamatkan secara beransur-ansur. Nisbah perlindungan kerugian pinjaman kekal pada paras tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini, iaitu pada 129% yang mencerminkan tahap amalan peruntukan bank yang lebih ketat.


Secara keseluruhan, bank-bank, penanggung insurans dan pengendali takaful terus mempunyai penampan kewangan yang mencukupi untuk menyerap potensi kerugian dalam keadaan makroekonomi dan kewangan yang teruk dan pada masa yang sama mengekalkan sokongan untuk pemulihan ekonomi.


Pembentukan Platform Risikan Ancaman Siber Sektor Kewangan (FinTIP)

Berikutan keperluan untuk mengekalkan pelaksanaan pengaturan bekerja secara jarak jauh dan fleksibel bagi tempoh lebih panjang, serta pendigitalan perkhidmatan kewangan yang lebih meluas yang juga bergantung pada penyedia perkhidmatan pihak ketiga, pengurusan risiko akibat gangguan teknologi maklumat dan serangan siber terus menjadi keutamaan penting kepada sektor ini.


Pelaburan yang besar dan berterusan oleh institusi kewangan untuk mengukuhkan pelan kesinambungan perniagaan dan daya tahan terhadap risiko siber kekal penting bagi mengurangkan risiko operasi pada peringkat institusi dan seluruh sistem.


Platform Risikan Ancaman Siber Sektor Kewangan (FinTIP) yang dipantau oleh BNM mula beroperasi pada bulan September 2021 untuk meningkatkan daya tahan siber industri kewangan. FinTIP merupakan platform risikan ancaman siber terhadap industri yang beroperasi 24 jam dalam sehari.


Platform ini mengumpulkan, menggabungkan, menganalisis dan berkongsi risikan ancaman siber dengan institusi kewangan serta pihak berkepentingan tepat pada masanya.


Perkongsian maklumat dan kerjasama yang lebih meluas dan pantas dijangka dapat memperkukuh keupayaan tindak balas industri kewangan terhadap ancaman siber yang berubah-ubah yang boleh menjejaskan sistem kewangan.

3 views0 comments

Комментарии


bottom of page