top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

RHB Bantu PKS Nilai RM20.3 Bilion, Pulih Ekonomi


Logo: RHB Bank


RHB Banking Group (RHB) membina daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepanjang tempoh pandemik dengan menyediakan bantuan kewangan bernilai kira-kira RM20.3 bilion, kata Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulannya.

Jeffrey Ng dalam kenyataan media pada 24 September 2021/Jumaat berkata ia merangkumi RM12 bilion menerusi bantuan pembayaran balik dan RM8.3 bilion lagi dari segi pinjaman serta kemudahan pembiayaan.


Katanya bantuan turut termasuk memudahcara penyampaian bantuan pembiayaan kerajaan seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF).


Selain itu, RHB terus menyokong usaha pemulihan lebih meluas menerusi program RHB BizPower Relief Financing (BRF) untuk memberikan akses modal yang amat diperlukan pada kadar mampu milik kepada lebih ramai PKS, terutama yang terkesan oleh pandemik COVID-19 berpanjangan.


"Bank itu menggunakan pendekatan holistik untuk membantu dan menyokong PKS sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan menyediakan kemudahan dan bantuan pembayaran, selain bekerjasama dengan rakan perkongsian untuk membolehkan PKS membina daya tahan kewangan," jelas beliau.


Katanya, sejak bermula pandemik, RHB menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan berkaitan COVID-19 dan setakat 22 September lalu, kumpulan juga sudah menyediakan bantuan pembayaran balik kepada hampir 7,000 PKS dengan kemudahan pinjaman serta pembiayaan berjumlah RM12 bilion.


"Bagi membantu memacu daya tahan perniagaan, kami bekerjasama dengan Beep.it, Food Market Hub dan Lapasar untuk menyediakan pelanggan PKS akses mudah kepada platform e-dagang pada kadar kompetitif.


"Menerusi program RHB #JomSapot pula, kami secara aktif terus membantu PKS mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada asas pelanggan kami yang luas tanpa kos tambahan.


"Sokongan turut diperluaskan menerusi ekosistem digital PKS kami yang komprehensif bagi meningkatkan kecekapan operasi dalam kalangan pelanggan PKS," katanya.


RHB akan terus menyediakan sokongan kewangan dan jenis bantuan lain kepada pelanggan PKS, termasuk perusahaan mikro, sambil secara aktif merancakkan aktiviti perniagaan domestik sejajar dengan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat.

2 views0 comments

Yorumlar


bottom of page