top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

PROTON Rekod Jualan 13,362 Unit Pada Oktober 2021


Sumber Foto: Facebook Proton Cars


Proton Holdings Bhd (PROTON) melepasi jumlah jualan tahunan setakat ini berbanding tahun 2020 dengan 13,362 unit lagi dijual pada Oktober 2021.

Ia menyaksikan jualan terkumpulnya kini berjumlah 86,379 unit, peningkatan 1.6 peratus daripada jualan 10 bulan pertama 2020 sebanyak 84,999 unit.


PROTON dalam kenyataan media pada 3 November 2021/Rabu berkata, pencapaian itu melangkaui prestasi jumlah jualan industri (TIV) bagi pasaran automotif tempatan, yang menurun sebanyak 4.7 peratus walaupun dengan jualan melebihi 65,000 unit buat kali pertama pada Oktober untuk 2021.


Ia berkata, unjuran pegangan pasaran bagi bulan terbabit adalah sebanyak 20.5 peratus manakala pegangan pasaran bagi tempoh sama berbanding tahun lalu adalah sebanyak 22.7 peratus.


"Proton Saga terus menerajui pencapaian jualan dengan 5,107 unit telah dijual pada Oktober, menandakan sudah tiga kali model terbabit melepasi jualan melebihi 5,000 unit tahun ini.


"Dalam tempoh yang sama berbanding tahun lalu, Saga juga kekal sebagai peneraju jualan bagi sedan segmen-A yang tidak boleh dipertikaikan dan pilihan untuk pembeli yang mahukan kereta mampu milik dengan ciri-ciri terkini dan mempunyai dinamik perlumbaan yang terbukti," katanya.



Sumber Foto: Proton Cars


Pengeluar kereta nasional itu berkata, dua lagi peneraju jualan syarikat ialah model kenderaan utiliti sukan (SUV), iaitu Proton X50 dan Proton X70.


"SUV segmen-B Proton X50 beroleh kejayaan terbaik bulan lalu sejak pelancarannya dengan jualan sebanyak 3,839 unit. SUV yang lebih besar, Proton X70 mengekalkan momentum dengan jualan sebanyak 2,165 pada Oktober, hasil terbaik sejak Mac tahun ini," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata jualan PROTON pada Oktober boleh disimpulkan sebagai permintaan daripada pelanggan yang tinggi dan potensi jualan yang belum direalisasikan.


"Walaupun gembira dengan populariti Proton Saga dan pencapaian kedua-dua model SUV, kami terlepas untuk meningkatkan jumlah jualan oleh kerana kami berusaha untuk memperoleh bekalan komponen.


"Permintaan pasaran dijangka kekal kukuh menjelang akhir tahun dan kami akan berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan 2021 ditutup dengan kejayaan yang besar," kata Roslan Abdullah.



188 views0 comments

Comments


bottom of page