top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

PROTON Jual 10,380 Kereta Pada September 2021


Sumber foto: Facebook Proton Cars

PROTON Holdings Bhd (PROTON) menjual 10,380 unit kenderaan pada September 2021, prestasi bulanan pertama yang produktif bagi pengeluaran kereta nasional itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Berdasarkan jumlah jualan dicatatkan pada September 2021, pegangan pasaran PROTON dianggarkan sekitar 23.9 peratus bersandaran kepada anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sekitar 43,500 unit.


PROTON dalam kenyataan media pada 5 September 2021/Selasa berkata, secara keseluruhan, pegangan pasaran bagi 2021 berada pada 23 peratus, lebih baik jika dibandingkan dengan angka penutup sebanyak 20.7 peratus tahun lalu.


"Prestasi jualan PROTON pada September dipacu oleh jualan Proton Saga. Sebanyak 3,907 unit sedan segmen-A itu dijual bulan lalu, satu pencapaian yang bukan saja menerajui segmennya, tetapi juga membolehkan model paling popular syarikat itu menduduki tempat teratas bagi jualan model secara individu.


"Pada masa yang sama, jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) PROTON terus kekal utuh dengan peningkatan penyerahan kedua-dua kenderaan siri-X untuk memenuhi permintaan. Kedua-dua model mengungguli segmen mereka dengan 2,431 unit Proton X50 diserahkan pada September sementara jualan Proton X70 sebanyak 1,577 unit.


"Secara keseluruhan, 27,312 unit SUV dijual oleh syarikat pada tahun ini, bersamaan 37.4 peratus jualan keseluruhan tahunan syarikat sebanyak 73,017 unit," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata walaupun bahagian pengeluaran terkesan kekurangan bekalan komponen, PROTON masih mampu untuk menyerahkan 1,440 unit Persona dan 749 unit Iriz, yang turut menampilkan varian Iriz Active.


"Kami berpuas hati pencapaian baik PROTON bulan lalu. Sebenarnya, kami mampu menjual lebih dari 10,380 unit diperoleh, tetapi konteks harus diberikan kepada prestasi kerana Malaysia dalam proses pemulihan pandemik yang masih memberi kesan kepada pembekal industri automotif.
"Situasi kini bertambah baik, tetapi kekurangan bekalan cip dan komponen lain adalah isu tidak selesai dalam masa singkat, jadi kami harus berhati-hati membuat anggaran jualan kerana kapasiti pengeluaran tertakluk perubahan semasa.
"Oleh itu, bagi tiga bulan akhir tahun ini, PROTON menumpukan perhatian menyerahkan sebanyak mungkin kenderaan kepada pelanggan membuat tempahan," kata Roslan Abdullah.

Beliau berkata, PROTON menyelesaikan masalah permintaan tertangguh, membolehkan lebih banyak jualan pada tahun 2022 dan membantu jenama itu maju ke hadapan dengan perancangan meluaskan lagi rangkaian produk ke pasaran tempatan dan eksport.

2 views0 comments

Comments


bottom of page