Bank for International Settlements (BIS) Innovation Hub, Reserve Bank of Australia, Bank Negara Malaysia (BNM), Monetary Authority of Singapore dan South African Reserve Bank sedia bekerjasama untuk menguji penggunaan mata wang digital bank pusat (CBDC) bagi penyelesaian antarabangsa.
Menurut kenyataan media bersama pada 2 September 2021/Khamis menyatakan dikenali sebagai 'Projek Dunbar', inisiatif bersama diterajui Pusat BIS Innovation Hub di Singapura itu menyasar membangunkan prototaip platform dikongsi bersama bagi transaksi rentas sempadan menggunakan pelbagai CBDC.
Platform pelbagai CBDC itu membolehkan institusi kewangan melakukan transaksi secara terus antara satu sama lain dalam mata wang digital yang dikeluarkan bank pusat peserta yang tidak memerlukan pihak pengantara serta dapat mengurangkan masa dan kos transaksi.
Katanya, pihak terbabit bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi membangunkan prototaip teknikal pada platform teknologi lejar teragih berbeza-beza.
Mereka juga mengkaji reka bentuk tadbir urus dan operasi berlainan bagi membolehkan bank pusat berkongsi infrastruktur CBDC serta mendapat manfaat daripada usaha sama antara pakar sektor awam dengan swasta daripada pelbagai bidang kuasa dan bidang operasi.
Pada dasarnya, Projek Dunbar mengkaji dimensi antarabangsa reka bentuk CBDC dan menyokong usaha pelan hala tuju G20 untuk menambah baik proses pembayaran rentas sempadan.
Hasil kajian diterbitkan pada awal 2022 itu membantu membangunkan platform masa depan bagi penyelesaian global dan serantau.
Prototaip teknikal bagi platform dikongsi bersama ini dibangunkan dengan kerjasama beberapa rakan teknologi dan demonstrasi prototaip diadakan di 'Singapore Fintech Festival' pada November 2021.
Ketua Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, Andrew McCormack, berkata Projek Dunbar menghimpunkan bank pusat berpengalaman luas dan mempunyai pandangan unik dalam projek CBDC dan rakan kongsi ekosistem yang berada pada peringkat lanjutan pembangunan teknikal mata wang digital.
"Bersama-sama dengan kumpulan rakan kongsi berkebolehan dan bersemangat ini, kami yakin usaha kami berhubung dengan pelbagai CBDC bagi penyelesaian antarabangsa ini akan mencapai kemajuan dalam usaha penyelidikan CBDC pada peringkat seterusnya dan membina asas bagi kesalinghubungan pembayaran global," katanya.
Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail, berkata platform pelbagai CBDC yang dikongsi bersama dan dikaji melalui Projek Dunbar berpotensi melangkaui pengaturan pembayaran legasi dan menjadi asas kepada platform penyelesaian antarabangsa lebih cekap.
"Kami berharap projek ini memacu lebih banyak kerjasama awam-swasta bagi membolehkan pembayaran rentas sempadan cepat dan lancar, dengan menggabungkan manfaat teknologi lejar teragih dan kecekapan platform yang dikongsi bersama," katanya.
Kommentare