top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Prestasi Ekonomi Malaysia Dijangka Lebih Baik, Berkembang 6 Peratus pada 2022



Prestasi ekonomi Malaysia dijangka lebih baik dengan berkembang enam peratus pada 2022 didorong oleh pemulihan berterusan dalam ekonomi domestik serta pertumbuhan berterusan permintaan luaran, kata MIDF Research.

Timbalan Presiden/Ketua Penyelidiknya berkata pihaknya menjangkakan permintaan domestik akan memacu pemulihan ekonomi selepas berdepan gangguan pada tahun ini susulan penularan varian Delta.


Imran Yassin Md Yusof berkata jangkaan prospek yang lebih baik akan mendorong pengguna dan perniagaan meningkatkan perbelanjaan mereka, sekali gus menyokong pertumbuhan tahun depan, manakala pertumbuhan berterusan dalam permintaan luaran akan terus menyokong aktiviti perdagangan negara ini.


"Secara keseluruhan, kami menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh pada enam peratus untuk 2022.


"Walaupun optimis dengan prospek pemulihan tahun depan, kami menyedari terdapat beberapa isu tahun ini mungkin berlarutan ke 2022 yang menyebabkan kemungkinan kesan negatif," katanya pada taklimat media mengenai tinjauan pasaran MIDF Research bagi 2022, lapor BH Online pada 7 Disember 2021/Selasa.


Imran Yassin berkata, beberapa isu yang berpotensi membawa gangguan dalam pemulihan ekonomi tahun depan ialah penemuan varian baharu COVID-19, Omicron, tekanan inflasi berterusan, penarikan balik pasaran hartanah China dan kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Malaysia.


Beliau menjelaskan, walaupun isu berkenaan berpotensi membawa gangguan pemulihan ekonomi, pihaknya berpendapat sekiranya ia berlaku secara serentak atau berasingan, tidak akan menjejaskan proses pemulihan.


Namun, katanya, kemungkinan isu itu menjadi lebih buruk daripada jangkaan tidak boleh diketepikan berdasarkan pengalaman tahun ini.


"Oleh itu, pelabur perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang risiko pada tahun depan," katanya.


Mengenai prospek pasaran ekuiti, Ketua Strategi MIDF Research, Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin, berkata penanda aras Indeks FBM KLCI untuk 2022 dijangka mencecah 1,700 mata.


Beliau berkata, sektor yang dijangka mendapat manfaat ketara dengan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya adalah perbankan, automotif dan teknologi.


Mengenai prestasi ringgit, Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim, berkata mata wang tempatan dijangka meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada RM4.05 menjelang akhir 2022.

Beliau berkata, inflasi pula dijangka berada pada 2.1 peratus tahun depan.


"Dengan ekonomi dijangka pulih dan tekanan inflasi kembali, kami jangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan melakukan kenaikan kadar 25 mata asas pada separuh kedua 2022," katanya.


MIDF Research juga menjangkakan harga komoditi akan kekal pada paras tinggi dengan harga minyak mentah Brent secara purata berada pada paras AS$75 hingga AS$80 setong dan harga minyak sawit mentah (MSM) secara purata pada RM3,300 tan.

3 views0 comments

Comments


bottom of page