top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

PETRONAS Raih Untung Bersih RM48.6 Bilion Pada 2021


Sumber Logo: Petronas


PETRONAS kembali meraih keuntungan bersih sebanyak RM48.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih RM21 bilion tahun sebelumnya.

Prestasi syarikat minyak dan gas nasional itu disokong pemulihan harga komoditi disebabkan peningkatan kembali permintaan dalam sektor tenaga serta pembukaan ekonomi apabila lebih banyak penduduk dunia mendapat vaksinasi penuh, lapor BH ONLINE pada 1 Mac 2022/Selasa.


Petronas juga mencatatkan lonjakan pendapatan kepada RM248 bilion berbanding RM178.7 bilion tahun sebelumnya dengan sebahagian besarnya berikutan kesan ketidaktentuan harga untuk beberapa produk utama.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan turut naik kepada RM100.5 bilion, disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi. Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berada pada RM78.6 bilion.


Setakat 31 Disember 2021, jumlah aset keseluruhan PETRONAS meningkat kepada RM635 bilion berbanding RM574.1 bilion tahun lalu, terutama disumbangkan oleh tunai dan tunai setara lebih tinggi, termasuk akaun terimaan lebih tinggi.


Perbelanjaan modal kumpulan berjumlah RM30.5 bilion, kebanyakan untuk projek huluan.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata, prestasi PETRONAS bagi 2021 itu dicapai dengan pengukuhan portfolio utama kumpulan serta kekal berdaya saing sepanjang dua tahun ini biarpun berdepan cabaran dalam pemulihan pasaran dan ekosistem tenaga.


Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata permintaan global untuk komoditi dan tenaga meningkat dengan pantas melebihi jangkaan dan PETRONAS akan terus memanfaatkan peluang baharu untuk mengekalkan pencapaian ini termasuk pertumbuhan keuntungan sebagai syarikat minyak dan gas nasional negara.


Katanya ia selari dengan pengenalan entiti baharu pada pertengahan 2022 dan penubuhan Unit Pengurusan Karbon kami, ia akan mengembangkan PETRONAS menjadi 'superstore' tenaga yang menyediakan pelanggan penyelesaian perniagaan terbaik dengan tenaga bersesuaian dan memenuhi kemajuan bahan api.

"Tahun 2022 dijangka akan menjadi tahun yang bermakna untuk PETRONAS melangkah ke hadapan bagi mencapai sasaran ditetapkan, terutama menjadi rakan kongsi penyelesaian dan tenaga terbaik.


"Menerusi strategi pertumbuhan serampang tiga mata dan Net Zero Carbon Emissions 2050, Petronas komited untuk terus memastikan tenaga dapat dihasilkan dan disediakan secara mampan," katanya.


Bagi unjuran tahun 2022, PETRONAS menjangkakan akan terus beroperasi dalam persekitaran yang mencabar terutama menerusi ketidaktentuan pasaran dan peningkatan risiko geopolitikal.

Kumpulan akan memfokus melaksanakan pelan pertumbuhannya dan meningkatkan usaha selain kekal komited mencapai kecemerlangan operasi dan komersial tahun ini dan tahun seterusnya.


PETRONAS juga komited mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan bertaraf dunia dan memberi fokus kepada kestabilan serta pemerkasaan operasi perniagaan.

1 view0 comments

Kommentare


bottom of page