top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

PERODUA Terima 3,000 Tempahan Myvi Baharu


Sumber Grafik: Perodua


AUTOMOBIL | Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menerima 3,000 tempahan kereta kompak paling laris di Malaysia, Myvi sejak dibuka 9 November 2021, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata model Myvi baharu generasi ketiga yang bakal dilancarkan secara rasmi Khamis ini mendapat sambutan yang positif pelanggan.


"PERODUA kini giat menghasilkan model Myvi baharu bermula 9 November lalu dengan penghantaran ke Sabah dan Sarawak sudah dilakukan," katanya pada prebiu media Myvi baharu pada 16 November 2021/Selasa, lapor BH Online.


Model paling laris keluaran PERODUA itu bakal ditawarkan pada julat harga dari RM45,700 hingga RM58,800 (untuk Semenanjung Malaysia dan tanpa insurans).


Menurut PERODUA, Myvi generasi ketiga menerima penambahbaikan apabila model utamanya akan didatangkan dengan teknologi yang dinaik taraf, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan, penjimatan bahan api yang lebih baik, penampilan baharu yang 'sporty' serta warna baharu.


Varian Myvi baharu termasuk 1.5 liter AV (Advance), varian 1.5 liter H, varian 1.5 liter X serta dua varian 1.3 liter G.


Semua varian hanya didatangkan dalam transmisi automatik kerana PERODUA sudah menghentikan transmisi manual daripada barisannya.


PERODUA juga meningkatkan kecekapan bahan api bagi Myvi naharu ini kepada 22.2 kilometer (km)/liter (diuji pada varian 1.3L) berbanding 21.1km/liter sebelum ini.
Varian AV, H dan X serta salah satu varian G akan mempunyai sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang terkini, direka dengan mengutamakan keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

Perodua Myvi baharu turut memperkenalkan warna terkini iaitu Cranberry Red, yang hanya tersedia untuk varian AV.


Warna lain termasuk Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.


Zainal Abidin berkata isu kekurangan cip komputer memberi gangguan kepada pengeluaran PERODUA tetapi perkara itu dapat diatasi berdasarkan kerjasama pembekal bagi memastikan ia tidak menjejaskan pengelurannya.


"Sehingga ke akhir tahun ini, kami dapat mengatasi isu kekurangan cip komputer berdasarkan komitmen yang dipersetujui pembekal. Kebimbangan kini terarah pada suku pertama tahun depan kerana pembekal hanya memberi komitmen untuk setiap tiga bulan ke depan.


"PERODUA berharap dapat mengawal sekali lagi situasi ini bagi memastikan ia tidak menjejaskan pengeluaran model kami," katanya.


Berhubung sasaran jualan 2021, Zainal Abidin berkata, PERODUA berusaha untuk mencapai sasaran jualan meskipun berdepan cabaran.


"Jika kami berjaya menjual melebihi 200,000 unit untuk setahun penuh sudah memadai, berdasarkan persekitaran semasa khususnya membabitkan COVID-19," katanya.

4 views0 comments

Comentarios


bottom of page