top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

PERODUA Pecah Rekod, Jual 27,858 Kenderaan Pada Oktober 2021


Sumber grafik: Facebook Perodua


Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) terus memecah rekod baharu jualan pada Oktober 2021 dengan mendaftarkan 27,858 kenderaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA dalam kenyataan media pada 2 November 2021/Selasa berkata rekod baharu itu tercatat dengan peningkatan pengeluaran dan penghantaran kenderaan yang pantas kepada pelanggan.


Sebelum ini, rekod terdahulu dicatatkan pada 12 bulan lalu apabila 26,848 kenderaan dijual pada Oktober 2020, yang turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Record.


Katanya, pengeluar kereta kompak itu menyasar menghantar sebanyak mungkin kenderaan pada suku keempat 2021.


"Pencapaian ini komitmen kami terhadap pelanggan dan ia mewakili peningkatan 90.67 peratus daripada 14,160 unit dijual pada September 2021.


"Kami kini berusaha meningkatkan lagi pengeluaran terutama untuk tahun ini," kata Datuk Zainal Abidin Ahmad.


Daripada 27,858 kenderaan PERODUA didaftarkan, 8,761 unit adalah Myvi, 5,973 unit Axia, 5,257 unit Bezza, 3,973 unit Ativa, 2,553 unit Alza dan 1,341 unit Aruz

Dari segi pengeluaran, Zainal Abidin berkata bulan lalu turut menyaksikan jumlah kenderaan tertinggi yang pernah dihasilkan dengan catatan sebanyak 29,803 unit dalam tempoh sebulan.


Beliau berkata, pencapaian itu di luar kapasiti pengeluaran semasa PERODUA, namun pasukan mampu meningkatkan produktiviti dengan tahap kualiti sama walaupun tanpa kakitangan, peralatan atau jentera baharu.


"Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan PERODUA yang melakukan terbaik untuk memastikan pelanggan kami menerima kenderaan PERODUA secepat mungkin.


"Kami sentiasa mengambil berat aspek keselamatan dan kesihatan keseluruhan operasi dengan memastikan semua kakitangan mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19 dan pada masa sama memastikan menjangkaui semua keperluan kualiti," katanya.


Zainal Abidin berkata, lanjutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan baru-baru ini dialu-alukan kerana membolehkan ekosistem automotif memiliki lebih banyak ruang untuk pulih.


"Lanjutan pengecualian cukai jualan juga memberi manfaat kepada semua, daripada pengguna kepada pengeluar komponen asli serta pembekal yang turut terjejas akibat kekurangan bekalan semikonduktor di peringkat global," katanya.


Setakat tahun ini, PERODUA merekodkan 146,951 unit dari Januari hingga Oktober, iaitu 14.5 peratus di bawah 171,861 yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu.

2 views0 comments

Comments


bottom of page