top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Permintaan Bekalan Cip Global Kukuh




Permintaan kukuh bagi bekalan cip khususnya di peringkat global memberikan harapan kepada perkembangan sektor semikonduktor di negara ini.


Penganalisis TA Securities Research berkata permintaan kukuh terhadap cip disokong perkembangan pantas pendigitalan semasa wabak COVID-19 menjadi pemangkin kepada pengukuhan sektor semikonduktor.


Wilson Loo berkata ia juga disokong pertumbuhan teknologi baru muncul seperti 5G, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, Internet Kebendaan (IoT) dan robotik.


Katanya penjualan semikonduktor global pada Jun terus meningkat 2.1 peratus bulan ke bulan atau 29.2 peratus tahun ke tahun kepada AS$44.5 bilion (RM188.15 bilion).


"Separuh pertama 2021 juga menyaksikan jualan semikonduktor meningkat 23.5 peratus tahun ke tahun kepada AS$256.9 bilion (RM1.09 trilion).


"Ia sekali gus memungkinkan mencapai sasaran statistik perdagangan semikonduktor dunia bagi penjualan semikonduktor sebanyak AS$527.2 bilion (RM2.23 trilion), 19.7 peratus lebih tinggi berbanding 2020 pada tahun ini," beliau berkata dalam nota penyelidikan.

Loo berkata, tempahan sektor itu pada Jun turut merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 2.3 peratus (bulan ke bulan) atau 58.4 peratus tahun ke tahun kepada AS$3.67 bilion (RM15.52 bilion).


Beliau berkata, secara kumulatif, tempahan pada separuh pertama meningkat 45.2 peratus kepada AS$20.14 bilion (RM85.15 bilion).


Katanya, laporan Semiconductor Equipment & Materials International (SEMI) juga menyatakan pelaburan yang meningkat dalam peralatan semikonduktor mencerminkan dorongan industri mengatasi kekurangan bekalan cip global disebabkan gangguan pengeluaran.


"Perbelanjaan tinggi untuk peralatan juga dijangka terus berlaku sehingga beberapa tahun akan datang.


"Ia berdasarkan kepada peningkatan kapasiti bagi memenuhi permintaan untuk cip dari aplikasi baru seperti komunikasi 5G hingga 6G, AI, kenderaan autonomi dan pengkomputeran berprestasi tinggi," katanya.

2 views0 comments

Yorumlar


bottom of page