top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Pendapatan e-Dagang Malaysia Melonjak Kepada RM279 Bilion




Pendapatan e-dagang Malaysia berjumlah RM279 bilion, melonjak 17.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2021, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan media pada 10 November 2021/Rabu berkata bagi pertumbuhan suku tahunan, pendapatan e-dagang mengekalkan trend positif dengan peningkatan 4.3 peratus.


"Bermula Januari sehingga September, pendapatan e-dagang merekodkan RM801.2 bilion, meningkat 23.1 peratus bagi tahun ke tahun," katanya.


Di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata e-dagang dipacu oleh negeri perindustrian yang terdiri daripada negeri Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Manakala, di peringkat industri, sektor pembuatan dan perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan pendapatan e-dagang.


"Prestasi yang lebih baik ini pastinya didorong oleh pembudayaan norma baharu semasa pandemik COVID-19 yang meningkatkan lagi penggunaan digital di Malaysia," katanya.


Berdasarkan pendapatan e-dagang mengikut jenis pasaran pada 2019, pendapatan e-dagang pasaran tempatan dijana daripada jualan dijalankan di Malaysia mendominasi pasaran dengan sumbangannya 87.6 peratus berbanding pasaran antarabangsa 12.4 peratus.


Nilai pendapatan dijana masing-masing berjumlah RM591.8 bilion dan RM83.5 bilion.


Sementara itu, pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui Perniagaan kepada Perniagaan (B2B) mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM449.6 bilion dengan sumbangan 66.6 peratus dan diikuti Perniagaan kepada Pengguna (B2C) sebanyak RM194.0 bilion (28.7 peratus).


Seterusnya, Perniagaan kepada Kerajaan (B2G) merekodkan RM31.8 bilion (4.7 peratus).


Mohd Uzir berkata teknologi digital berpotensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.


Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) - dilancarkan oleh kerajaan pada Februari 2021 adalah asas kepada transformasi Malaysia untuk menjadi 'nadi digital serantau' yang dijangka merangsang produktiviti, meningkatkan inovasi dan menambah baik kehidupan dengan memanfaatkan internet, data raya, Internet Pelbagai Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi lain.



4 views0 comments

Comments


bottom of page