top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Pendapatan DRB-HICOM Naik 30.8 Peratus Suku Kedua 2021


DRB Hicom


DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) mencatatkan pendapatan RM2.62 bilion untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2021, peningkatan 30.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.


Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 pula, pendapatannya berjumlah RM6.13 bilion, meningkat 29.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.


DRB-HICOM berkata, kumpulan merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM279.53 juta bagi suku kedua 2021, manakala kerugian sebelum cukai bagi separuh pertama 2021 berjumlah RM243.22 juta.


Katanya, meskipun mengalami tekanan jualan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, pendapatan sektor automotif DRB-HICOM meningkat 52 peratus kepada RM4.35 bilion berbanding RM2.87 bilion pada separuh pertama 2020.


"Pencapaian ini sebahagian besarnya didorong prestasi jualan kenderaan oleh syarikat automotif nasional PROTON dan jenama kenderaan yang lain di dalam kumpulan, serta pendapatan dari syarikat pembuatan dan kejuruteraan seperti PHN Industry Sdn Bhd dan HICOM-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd.
"Namun, tempoh PKP yang berpanjangan ini dijangka akan mempengaruhi jumlah penjualan tahunan kerana pusat-pusat pameran untuk PROTON, Honda, Mitsubishi, Volkswagen, Isuzu dan TATA masih kekal ditutup di beberapa buah negeri sekalipun 11 sektor ekonomi dibuka semula baru-baru ini," katanya dalam kenyataan media pada 17 Ogos 2021/Selasa.

Pada akhir Julai, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak semula unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk Malaysia sebanyak 12 peratus daripada 570,000 unit kepada 500,000 berbanding TIV 2020 sebanyak 529,434 unit.


Bagi sektor perkhidmatan DRB-HICOM, pendapatan pada suku kedua 2021 menyusut sebanyak sembilan peratus dari tahun ke tahun kepada RM791.83 juta, didorong jumlah pendapatan yang lebih rendah dari Pos Malaysia.


Sumbangan yang lebih rendah dari projek pembangunan hartanahnya menyaksikan pendapatan sektor hartanah DRB-HICOM menyusut 28 peratus kepada RM54.91 juta berbanding RM78.90 juta dalam tempoh sama 2020.


Portfolio hartanah DRB-HICOM kini tidak termasuk sektor runcit dan hospitaliti berikutan urus niaga korporat yang telah diselesaikan pada Disember 2020 yang menyaksikan DRB-HICOM tidak lagi bersaing di dalam sub-sektor berkenaan.


Mengenai prospek bagi tahun kewangan semasa, konglomerat itu tetap berhati-hati dengan prestasi kewangannya untuk tahun berakhir 31 Disember 2021 dengan mengambil kira ketidakpastian yang meningkat di sebalik impak ekonomi yang sepenuhnya dari pandemik COVID-19 berpanjangan.


Bagi baki tahun 2021, DRB-HICOM berkata, kumpulan itu sedang mengambil langkah diperlukan untuk membentuk semula perniagaannya agar ia kekal kompetitif dalam persekitaran yang tidak dapat diramalkan.


Katanya, keputusan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai penjualan bagi kenderaan penumpang sehingga 31 Disember 2021 dijangka akan meningkatkan permintaan secara keseluruhannya pada 2021.


"Perniagaan DRB-HICOM yang lain dalam segmen pertahanan, aeroangkasa, perbankan, perkhidmatan dan hartanah akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan tunai yang berhemah bagi memastikannya dapat terus bertahan di sebalik landskap perniagaan yang mencabar disebabkan pandemik ini," katanya.

1 view0 comments

Comments


bottom of page