top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Pembeli Dalam Talian Asia Tenggara Dijangka Naik Kepada 380 Juta Pada 2026



PENDIGITALAN | Laporan Barometer e-Dagang Asia Tenggara (SEA) 2021 dikeluarkan Ninja Van Group mendapati jumlah pembeli secara dalam talian di Asia Tenggara dijangka terus meningkat kepada kira-kira 380 juta orang menjelang 2026.

Kaji selidik dijalankan pada Julai 2021 di enam negara iaitu Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam dengan lebih 9,000 responden itu menunjukkan, sejak pandemik bermula dua tahun lalu, kira-kira 70 juta pembeli secara talian dicatatkan di SEA.


Syarikat logistik berteknologi yang berpangkalan di Asia Tenggara itu bekerjasama dengan DPDgroup untuk buat pertama kali mengeluarkan laporan menyelidik pembeli dan pilihan penghantaran secara dalam talian di SEA.


Sementara itu, dalam tempoh 12 bulan lalu, Ninja Van Group menghantar kira-kira dua juta bungkusan setiap hari merentasi rantau yang diliputi dalam laporan itu, menyokong pemerhatian yang lebih luas terhadap pertumbuhan e-dagang yang besar.


Dalam kenyataan media pada 18 April 2022 Ninja Van Group menjelaskan apabila pembeli membiasakan diri dengan membeli-belah dalam talian, mereka juga terbabit dalam peruncitan rentas sempadan.


Katanya lebih separuh daripada responden membeli daripada laman web asing dan kebanyakannya menyatakan berbuat demikian beberapa kali.


"Selain membeli dari dalam kawasan Asia Tenggara terdekat, ramai yang berkongsi bahawa mereka telah membeli dari negara Asia lain seperti China, Hong Kong, Taiwan, Jepun atau Korea Selatan.


"Tingkah laku pengguna itu adalah isyarat kukuh untuk peruncit dalam talian melihat di luar negara dan meluaskan pangkalan pelanggan mereka di peringkat serantau atau global," katanya.


Laporan itu juga mendedahkan bahawa pengalaman membeli-belah dalam talian hanya akan berakhir apabila pembeli mendapatkan barangan diingini.


Penghantaran, yang menjadi peringkat akhir membeli-belah dalam talian, menyumbang dengan ketara kepada keseluruhan pengalaman, dengan 89 peratus daripada responden berkongsi bahawa mereka ingin mengetahui syarikat penghantaran yang menguruskan bungkusan mereka.


9 views0 comments

Comentários


bottom of page