top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Pelabur Yakin Pasaran Tempatan Terus Melonjak



Tahap keyakinan pelabur ke atas pasaran tempatan terus melonjak disokong cadangan nilai jangka panjang yang ditawarkan Malaysia, demikian menurut Public Investment Bank.

Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan pada 15 November 2021/Isnin berkata pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia mencatatkan angka kemasukan menggalakkan pada suku ketiga 2021 berjumlah RM12.8 bilion, berbanding RM8.2 bilion pada suku sebelumnya.


"Kemasukan FDI positif itu mendorong suntikan stabil dalam dana ekuiti dan pelaburan sekali gus menjadi angka tertinggi setakat 2021 sejak suku pertama 2019 berjumlah RM21.7 bilion," katanya.


Aliran kemasukan FDI pada suku dikaji kebanyakan daripada Singapura berjumlah RM2.7 bilion, Belanda sebanyak RM2.2 bilion dan Amerika Syarikat (AS) mencecah RM2.2 bilion dengan mengikut sektor merangkumi pembuatan (61 peratus), perkhidmatan (34 peratus) serta perlombongan dan kuari (5.0 peratus).


Public Investment Bank berkata, kembalinya Belanda sebagai antara pelabur utama negara adalah menarik untuk diperhatikan, terutama selepas negara tidak berbuat demikian sejak permulaan pandemik kesihatan COVID-19 global.


"Ini adalah perkembangan positif kerana kami menjangkakan trend yang meningkat ini sepatutnya akan memberi petanda baik untuk FDI negara terutama apabila COVID-19 dijangka terkawal seawal separuh pertama 2022," katanya.


Public Investment Bank berkata, pelaburan langsung domestik (DDI) pula mencatatkan aliran keluar tidak dijangka pada suku ketiga iaitu RM4.7 bilion berbanding aliran masuk RM4.0 bilion pada suku kedua, pertama kali dalam tempoh beberapa tahun yang mungkin dicetuskan oleh krisis COVID-19 yang berpanjangan di seluruh dunia.


"DDI pada suku dikaji kebanyakan disalurkan ke dalam sektor seperti perkhidmatan (99 peratus) serta perlombongan dan kuari (1.0 peratus).


Sementara itu, kedudukan imbangan pembayaran (BOP) Malaysia kekal stabil pada suku ketiga 2021 dipacu lebihan kukuh dalam akaun semasa dan pemulihan mendadak dalam akaun kewangan Malaysia.


Public Investment Bank berkata, lebihan akaun semasa kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak 3.5 peratus pada suku dikaji.


"Kedudukan akaun semasa yang stabil didorong oleh peningkatan yang berterusan dalam lebihan dagangan dan aliran masuk dalam pasaran modal, khususnya pasaran hutang," katanya.


Akaun defisit negara beralih kepada kedudukan lebihan pada suku dikaji iaitu RM22.8 bilion, daripada defisit RM31.1 bilion pada suku sama tahun lalu, dipacu lonjakan ketara dalam sub akaun pelaburan langsung berjumlah RM17.5 bilion disokong aliran masuk FDI yang kukuh pada suku berkenaan.

1 view0 comments

Comments


bottom of page