top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Pasaran Hartanah Selangor Suram Di Kawasan Dilanda Banjir



Kejadian banjir di Selangor baru-baru ini yang menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu ditenggelami air selama beberapa hari dan menjejaskan beberapa infrastruktur bangunan dan kediaman membawa kepada jangkaan bahawa pasaran hartanah di kawasan terbabit terjejas, kata Ejen Hartanah Berdaftar dari Legacy Real Property Sdn Bhd

BERNAMA pada 4 JANUARI 2022/Selasa melaporkan Mohd Saharudin Tunggal berkata walaupun harga pasaran hartanah di kawasan itu dijangka terjejas tetapi realitinya ia masih belum berlaku berikutan bencana itu baru saja melanda kira-kira dua minggu lalu.


"Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) biasanya akan melakukan penilaian hartanah setiap enam bulan dan nilai terkini hartanah biasanya akan dapat dilihat dalam tempoh setahun," katanya,


Bagaimanapun, katanya secara logik, permintaan untuk hartanah yang terjejas banjir pastinya menurun dengan lebih ramai penyewa mahu berpindah keluar, pembeli membatalkan rancangan pembelian manakala pemilik akan berusaha untuk menjual kediaman yang terjejas.


"Pada masa ini, kawasan seperti Kota Damansara dan Petaling Jaya yang tidak terjejas banjir, permintaan masih menggalakkan tetapi kawasan banjir termasuk yang berdekatan dengan pantai seperti Klang, kita langsung tidak menerima apa-apa pertanyaan daripada pembeli dalam tempoh dua minggu ini," katanya.


Mohd Saharudin berkata, pihaknya juga ada menerima permintaan daripada beberapa pemilik rumah yang terjejas banjir di Puchong dan Klang yang ingin menjual kediaman mereka.


"Biasanya, bagi kediaman sebegini, kita tidak akan menurunkan nilai hartanah mereka. Kita akan mengikut nilai sebelum ini cuma kita akan lihat pada masa akan datang dari segi permintaan dan jika langsung tiada permintaan, secara logiknya harga akan diturunkan," katanya.


Mengulas lanjut, katanya impak daripada COVID-19 dan terbaharu bencana banjir secara langsung menjejaskan pasaran hartanah di Selangor secara keseluruhannya dan pembeli akan lebih berhati-hati dalam memilih kawasan yang selamat daripada bencana.


"Bagaimanapun, rumah adalah satu keperluan dan orang akan menyewa jika tidak dapat membelinya. Oleh itu, transaksi akan tetap berlaku tetapi kesan akan jelas dilihat dari segi harga dan nilai hartanah yang akan menurun," katanya.


Peguam Hartanah, Ahmad Qarliff Zamzuri, berkata setakat ini syarikatnya, Messrs Qarliff & Associates menerima banyak panggilan daripada pembeli dan penjual hartanah dari kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam dan Puchong yang ingin mendapatkan khidmat nasihat mengenai proses jual beli rumah yang terjejas banjir.


Menurutnya, dalam situasi seperti itu, pihak pembeli boleh membatalkan perjanjian jual beli kediaman itu tetapi bayaran deposit tidak akan dipulangkan.


"Ini kerana tiada dalam perjanjian yang menyatakan bahawa kawasan tersebut adalah bebas banjir dan pembeli sepatutnya melakukan 'due diligence' atau langkah wajar terlebih dahulu dengan mengkaji keadaan kawasan itu sebelum menandatangani perjanjian jual beli," katanya.


Bagi pihak penjual, katanya sekiranya mereka mahu meneruskan urusan penjualan itu, pihaknya perlu melakukan pembaikan dan pemulihan terhadap kediaman sebagaimana yang dilihat oleh pembeli sebelum kejadian banjir.

"Tugas pemilik dan penjual kediaman adalah memastikan rumah diserah dalam keadaan bersih, baik dan tidak rosak sebagaimana yang dilihat oleh pembeli sebelum ini. Itu adalah hak pembeli," katanya.


Bagaimanapun, katanya jika penjual tidak mampu berbuat demikian, mereka perlu memulangkan semula deposit dan membayar penalti dengan nilai deposit yang sama kepada pembeli (10+10).


"Selain itu, perkara ini juga dapat diselesaikan mengikut budi bicara antara pembeli dan penjual seperti menurunkan harga hartanah itu tanpa melakukan pembaikan dan pemulihan," katanya.


Bagi situasi rumah yang lenyap dibawa arus banjir, katanya urus niaga tidak dapat diteruskan dan penjual perlu memulangkan semula deposit kepada pembeli.


3 views0 comments

Comments


bottom of page