top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

OCBC Bank Tawar Biaya Istimewa, Lulus Lebih Pantas Rumah Mesra Alam


Sumber Foto : Unsplash


PEMBIAYAAN | HARTANAH | OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) menawarkan kadar pembiayaan istimewa dan kelulusan lebih pantas menerusi skim 'Green Home Financing' atau Pembiayaan Rumah Hijau bagi menggalakkan pemilikan rumah mesra alam dalam kalangan pengguna.

Kadar istimewa lebih rendah daripada pinjaman perumahan standard dan kelulusan lebih pantas dalam masa 48 jam, ditawarkan kepada mereka yang membeli hartanah kediaman disahkan sebagai bangunan 'hijau' dan sudah (atau akan) dipasang dengan panel solar.


Bangunan 'hijau' adalah bangunan disahkan mesra alam oleh badan-badan akreditasi seperti Green Building Index (GBI), GreenRE, Leadership in Energy & Environmental Design (LEED) atau BCA Green Mark.


Mereka yang memohon untuk skim pembiayaan berasaskan pemasangan panel solar hanya perlu mengemukakan salinan bil TNB terbaharu yang menyatakan bahawa pemasangan itu dibuat sebagai sebahagian daripada proses permohonan.


Pada tahun 2021, OCBC Bank memperkenalkan pelan pembiayaan panel solar kediaman bagi individu sebagai sebahagian daripada usaha untuk membolehkan pemilik rumah menggunakan tenaga lestari di rumah mereka.


Pengarah Urusan & Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank berkata langkah memperkenalkan 'Green Home Financing' adalah sebahagian daripada pelan keseluruhan OCBC Bank untuk membina kesedaran mengenai kelestarian dalam kalangan pengguna sambil menyediakan saluran untuk mereka menunjukkan komitmen kepada amalan berkaitan tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG).


"Kami berusaha untuk menggalakkan pengguna menghargai nilai dan mengamalkan ciri-ciri kelestarian. Insan yang berbakti ialah insan yang berjaya, justeru kami ingin memberi ganjaran dan menggalakkan amalan lestari.


"Ini dilaksanakan menerusi kadar istimewa kami dengan kelulusan yang lebih pantas. Kami berharap mereka yang bercadang untuk membeli rumah memanfaatkan kelebihan skim ini," kata Anne Leh Geok Meng dalam kenyataan media pada 27 Disember 2022.


Beliau berkata, menurut Laporan Tahunan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan


Malaysia (REHDA) 2021/2022, terdapat 188 projek yang menerima pensijilan GreenRE, salah satu agensi Akreditasi Hijau utama di Malaysia.


"Justeru, kami melihat potensi yang besar dalam segmen ini, sambil lebih banyak projek dijangka mendapatkan pensijilan ini," katanya.


Geok Meng menambah, sejajar dengan rancangan strategik untuk membina tawaran berasaskan kelestarian, OCBC Bank akan terus mempromosikan pelan pembiayaan panel solar yang dilancarkan tahun lalu.


Panel solar boleh menjimatkan sehingga 85 peratus atau lebih bil elektrik selepas membiayai belanja pemasangan sekali.


OCBC Bank menawarkan pilihan kepada pelanggan yang layak untuk membiayai seluruh jumlah yang diperlukan untuk memasang panel solar oleh penyedia panel solar yang turut serta.


Pemilik rumah kediaman boleh memohon untuk pelan pembiayaan panel solar OCBC Bank, iaitu Pelan Pembayaran Ansuran (IPP) 0% untuk tempoh sehingga 48 bulan, atau Pelan Pembayaran Mudah (EPP) yang membolehkan mereka menikmati manfaat penggunaan tenaga solar dengan lebih pantas.

4 views0 comments

Comments


bottom of page