top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Nilai Jualan Borong, Runcit Melonjak Kepada RM116.4 bilion Pada Oktober 2021



Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia melonjak 5.4 peratus tahun ke tahun kepada RM116.4 bilion pada Oktober 2021, paras tertinggi yang pernah direkodkan negara, kata Ketua Perangkawan Malaysia.

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit bagi Oktober 2021 berkata peningkatan positif itu disumbangkan subsektor perdagangan borong yang merekodkan kenaikan 4.4 peratus atau RM2.4 bilion kepada RM55.8 bilion pada Oktober 2021.


Beliau berkata perdagangan runcit juga turut berkembang 5.1 peratus atau RM2.3 bilion kepada RM46.5 bilion pada tempoh sama.


Katanya, selain itu, kenderaan bermotor kembali positif dengan 10.2 peratus atau RM1.3 bilion kepada RM14.2 bilion, selepas merekodkan beberapa siri pertumbuhan negatif dua digit sejak Jun 2021.

"Bagi perbandingan bulan ke bulan pula, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 7.7 peratus, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan juga kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober 2021," katanya.


Mohd Uzir berkata bagi prestasi mengikut subsektor pula, subsektor perdagangan borong menokok 4.4 peratus pada Oktober 2021 disokong oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 10.6 peratus atau RM1.1 bilion kepada RM11.2 bilion.


Beliau berkata, ia diikuti oleh subsektor lain-lain pengkhususan jualan borong sebanyak 5.1 peratus kepada RM22.1 bilion serta jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup pada 13.1 peratus kepada RM4.7 bilion.

Katanya, bagi pertumbuhan 10.2 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor, ia disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat semula 25.5 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM9.1 bilion.


"Ini diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal pada 1.2 peratus kepada RM1.1 bilion.


"Selain itu, indeks jualan runcit melalui internet turut merekodkan peningkatan 24.6 peratus tahun ke tahun dan indeks ini juga meningkat 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya," katanya.

3 views0 comments

Comments


bottom of page