top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Nilai Dagangan Malaysia Cecah RM181 Bilion Pada Julai 2021




Nilai perdagangan Malaysia meneruskan momentum positif apabila mencecah RM181 bilion pada Julai 2021, meningkat 13 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu, Ketua Perangkawan Negara.


Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia Julai 2021 yang dikeluarkan pada 27 Ogos 2021/Jumaat berkata prestasi kekal positif itu dicapai di sebalik senario tidak menentu kesan wabak COVID-19.


Katanya eksport Malaysia pada Julai 2021 naik 5.0 peratus, disokong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula dengan eksport domestik yang bernilai RM76.6 bilion menyumbang 78.7 peratus kepada jumlah eksport, berkembang 5.9 peratus tahun ke tahun.

"Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM20.7 bilion, meningkat 2.0 peratus. Import pada Julai berjumlah RM83.6 bilion, naik 24 peratus berbanding Julai 2020, melepasi pertumbuhan eksport untuk tiga bulan berturut-turut.


"Lebihan dagangan bernilai RM13.7 bilion, menurun 45.8 peratus. Jumlah dagangan Malaysia berkembang 13.0 peratus, mencecah RM181.0 bilion, tahun ke tahun," katanya.


Mohd Uzir berkata, selaras dengan pertumbuhan tahunan, 119 daripada 249 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.


Bagi import, katanya, sejumlah 171 daripada 258 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.


Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga melaporkan bahawa peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM1.2 bilion), Australia (+RM841.4 juta), Bangladesh (+RM743.2 juta), Indonesia (+RM632.0 juta) dan Jepun (+RM597.6 juta).


Sementara itu, China terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan import (+RM5.7 bilion), diikuti oleh Kesatuan Eropah (+RM2.3 bilion), Indonesia (+RM1.6 bilion), Korea Republik (+RM1.6 bilion), Brazil (+RM1.5 bilion), Taiwan (+RM1.2 bilion) dan Jepun (+RM963.9 juta).

Peningkatan eksport didorong oleh keluaran petroleum (+RM4.4 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasakan minyak kelapa sawit (+RM2.0 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.5 bilion); gas asli cecair (+RM1.3 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.3 bilion) dan barangan perkilangan logam (+RM661.1 bilion).


Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi keluaran petroleum (+RM2.9 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM2.6 bilion); bijih logam dan sekerap logam (+RM2.2 bilion); kimia & bahan kimia (+RM2.1 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM1.1 bilion); barangan besi & keluli (+RM785.3 juta) dan petroleum mentah (+RM722.0 juta).


Mohd Uzir berkata, bagi tempoh sama, pertumbuhan import bagi Penggunaan Akhir disokong oleh kenaikan permintaan terutamanya bagi barangan perantaraan.


"Import barangan perantaraan (55.8 peratus daripada jumlah import) berjumlah RM46.7 bilion, meningkat ketara RM14.0 bilion atau 46.7 peratus.


"Barangan modal (10.1% daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 25.6 peratus daripada RM6.7 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM8.5 bilion.


Import barangan penggunaan yang berjumlah RM6.5 bilion, meningkat 1.3 peratus berbanding Julai 2020, dan merangkumi 7.7 peratus daripada jumlah import," katanya.

2 views0 comments

Comentarios


bottom of page