top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

MR DIY Capai Pendapatan RM975 juta, Meningkat 27 Peratus




BISNES | MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) merekodkan pendapatan RM975 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, meningkat 27 peratus berbanding suku sama 2020.

Peruncit perkakas rumah terkemuka di Malaysia memperolehi pendapatan yang lebih tinggi itu didorong purata jualan bulanan lebih tinggi bagi setiap kedai, purata saiz bakul tinggi serta sumbangan positif daripada kedai baharu.


Rangkaian kedai kumpulan berkembang sebanyak 23 peratus kepada 900 pada suku keempat 2021 berbanding 734 pada suku sama 2020, mewakili pertumbuhan bersih sebanyak 166 kedai merentasi empat jenamanya - MR DIY; MR DIY Ekspres, MR TOY dan MR DOLLAR - dengan majoritinya adalah kedai utama MMR DIY.


Purata jualan bulanan lebih tinggi bagi setiap kedai disebabkan prestasi kedai kukuh di seluruh negara berikutan jumlah transaksi bagi suku itu meningkat 20 peratus kepada 33.1 juta berbanding 27.6 juta.


Justeru, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi RM179.1 juta untuk suku keempat tahun kewangan 2021, peningkatan 26 peratus berbanding suku keempat tahun kewangan 2020, sementara untung bersihnya pada suku itu meningkat 24 peratus.


Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, MR DIY mencatatkan pendapatan kumulatif dan untung bersih masing-masing sebanyak RM3.4 bilion dan RM431.8 juta, meningkat 32 peratus dan 28 peratus berbanding tahun sebelumnya.


Pertumbuhan keseluruhan bagi tempoh itu juga disumbangkan oleh sumbangan positif daripada kedai baharu yang membawa kepada jumlah transaksi yang lebih tinggi serta saiz bakul yang lebih tinggi.


Dalam kenyataan media pada 16 Februari 2022, Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY., berkata pihaknya berbesar hati mencatatkan set keputusan kewangan kukuh yang mencerminkan kekuatan dan daya tahan perniagaannya.


Adrian Ong berkata pihaknya juga berbangga dengan pasukannya dengan lebih 12,500 orang, yang mana walaupun dalam keadaan tidak menentu berikutan pandemik COVID-19 dan isu rantaian bekalan, terus menunaikan janji dengan menawarkan keperluan harian untuk semua rakyat Malaysia pada 'Harga Sentiasa Rendah', hampir di 900 lokasi mudah di seluruh negara.

"Gabungan kesetiaan pelanggan kami kepada jenama kami dan komitmen pekerja kami untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang menyumbang dengan ketara kepada keputusan ini," katanya.


Ong berkata, aliran tunai dan lembaran imbangan kumpulan kekal kukuh, dengan aliran tunai bersih daripada operasi berjumlah RM647.7 juta manakala nisbah penggearan bersih kumpulan kekal selesa pada paras 0.01 kali.




"Kumpulan kekal komited untuk mencatatkan pertumbuhan mampan jangka panjang yang didorong oleh keutuhan perniagaan, strategi berkesan untuk mengurus pertumbuhan kedai baharu, menambah baik kecekapan operasi dan yang paling penting, kekal relevan kepada pelanggan kami.


"Sasaran kumpulan untuk 2022 adalah membuka 180 kedai merentasi empat jenama, menjadikan jumlah keseluruhan kedai kepada kira-kira 1,100," katanya.


Kumpulan mengisytiharkan dividen interim suku tahunan kira-kira RM56.5 juta bagi suku keempat tahun kewangan 2021, yang bersamaan dengan nisbah pembayaran sebanyak 42 peratus.


Ia mewakili jumlah dividen terkumpul sebanyak RM185.2 juta untuk tahun kewangan 2021 dan mencerminkan kedudukan kewangan kumpulan yang kukuh.

2 views0 comments

Commentaires


bottom of page