top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

MDEC Tawar Dua Geran Insentif Jana Syarikat Teknologi



Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), menawarkan Geran Teknologi Global (GTG) yang menawarkan dua insentif kepada syarikat teknologi dan pemacu teknologi.


MDEC dalam kenyataan media pada 26 Ogos 2021/Khamis berkata bagi insentif syarikat teknologi, GTG menyasar membantu meningkatkan keupayaan syarikat teknologi tempatan yang bersedia menerokai pasaran global buat pertama kali.


Katanya insentif ini juga membantu syarikat teknologi mengembangkan kehadiran ke pasaran global sedia ada menerusi inovasi teknologi dan pengkomersilan produk dan perkhidmatan dipacu-pasaran.


"Tujuan utamanya adalah untuk memacu potensi unicorn Malaysia yang sedang dalam pembikinan
"Geran ini membiayai sehingga 50 peratus daripada keseluruhan kos projek atau sehingga RM2 juta, yang mana terendah, untuk syarikat milik tempatan. Bagi syarikat milikan asing, geran berkenaan membiayai sehingga 30 peratus daripada keseluruhan kos projek atau sehingga RM2 juta," katanya.

Bagi insentif pemacu teknologi, MDEC berkata, GTG menyasarkan syarikat teknologi asing untuk membuka Pusat Kecemerlangan bagi menjalankan inovasi teknologi bernilai tinggi dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menerajui pembangunan dan pengkomersialan produk dan perkhidmatan dipacu pasaran untuk pasaran global, selain menyumbang kepada pembangunan ekosistem.


"Geran ini membiayai sehingga 30 peratus daripada keseluruhan kos projek, yang mana terendah," katanya.


MDEC menjelaskan, GTG adalah inisiatif yang bermatlamat untuk memupuk juara global, mendorong pelaburan dan pemangkin ekosistem inovasi digital menerusi pembangunan dan pengkomersialan produk serta perkhidmatan dipacu pasaran.


"Objektif GTG adalah untuk menyokong peningkatan syarikat teknologi ke dalam arena global dengan cara memperkasa inovasi, pembangunan dan pengkomersialan pengganggu atau inovasi produk dan perkhidmatan.
"Geran berkenaan berfungsi untuk membantu R&D, meningkatkan peruntukan perkhidmatan R&D, pembangunan teknologi baharu, penubuhan Pusat Kecemerlangan dan mencipta produk dan perkhidmatan dipacu pasaran baharu ke pasaran global," katanya.

Agensi utama yang menerajui agenda transformasi digital negara itu berkata, GTG juga berperanan menyokong inisiatif pembangunan ekosistem berimpak tinggi.


Katanya, ia termasuk pembangunan ekosistem penggiat yang secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital seperti mewujudkan pekerjaan baharu, pengembangan eksport dan pelaburan serta pembangunan bakat yang kesemuanya berada di bawah fokus MDEC.


GTG terbuka kepada syarikat tempatan dan milikan asing.


Bagi memohon GTG, syarikat mesti ditubuhkan di Malaysia di bawah Akta Syarikat 1965 atau Akta Syarikat 2016; memiliki modal terbitan dan berbayar minimum sebanyak RM20,000; dan minimum 51 peratus ekuiti dipegang oleh rakyat Malaysia.


Bagi syarikat yang kepentingannya dipegang oleh syarikat lain, peraturan sama tetap terpakai.


Kelayakan untuk syarikat milikan asing pula adalah syarikat mestilah ditubuhkan di Malaysia di bawah Akta Syarikat dengan modal terbitan dan berbayar minimum sebanyak RM500,000. Syarikat mestilah beroperasi sekurang-kurangnya setahun.


Geran Teknologi Global dibuka untuk permohonan pada 27 Ogos 2021/Jumaat, bermula dengan sesi penerangan maya.


Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 September 2021, dengan penilaian dan kelulusan akan selesai pada Oktober.


Fasa pelaksanaan projek dijangka bermula pada November dan Disember.



1 view0 comments

Comments


bottom of page