top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Maybank Salur Bantuan Bayaran Balik PKS RM20 Bilion


Logo Maybank


Maybank memberikan bantuan pembayaran balik RM20 bilion kepada lebih 26,000 akaun pinjaman/pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik sehingga 30 September 2021.

Kumpulan perbankan dalam kenyataan media pada 27 Oktober 2021/Rabu berkata juga turut memastikan supaya golongan PKS mempunyai akses ke kemudahan pembiayaan dan meluluskan dan memberikan pinjaman/pembiayaan bernilai lebih RM15 bilion kepada sektor PKS sejak 2019.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, berkata walaupun sektor ekonomi dibuka secara beransur-ansur, Maybank masih komited untuk membantu pelanggan PKS, sama ada dari segi kewangan ataupun bukan kewangan bagi mempercepatkan proses pemulihan mereka.


Beliau berkata, PKS adalah tulang belakang ekonomi negara dan menggaji hampir setengah daripada tenaga buruh di samping menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru mereka harus diberi sokongan supaya dapat terus membantu pertumbuhan ekonomi negara.


"Kini, hampir 60 peratus daripada PKS di Malaysia adalah pelanggan Maybank, dan kami mahu memastikan mereka dapat mengekalkan dan membina semula perniagaan mereka terutamanya dalam peringkat awal proses pemulihan mereka," kata Datuk John Chong.


Chong berkata, Maybank juga akan terus menerima permohonan Bantuan Pembayaran Balik di bawah program PEMULIH.


Beliau berkata, kini, jumlah pinjaman/pembiayaan PKS di bawah skim Bantuan Pembayaran Balik merangkumi lapan peratus daripada jumlah keseluruhan portfolio pinjaman/pembiayaan pengguna dan PKS Maybank di Malaysia berdasarkan baki tertunggak.


Katanya, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, melalui inisiatif digitalnya, Maybank dapat memperluaskan hubungan pinjaman dengan golongan PKS, termasuk 'start-up' dan perusahaan mikro yang secara tradisinya kurang mendapat perkhidmatan perbankan kerana tempoh operasi perniagaan mereka agak singkat.


"Perusahaan mikro mewakili 78 peratus daripada PKS di Malaysia, dan jarang mempunyai sejarah kredit atau cagaran yang membolehkan mereka layak mendapatkan pembiayaan.


"Kami memahami cabaran mereka dan telah memperkenalkan SME Digital Financing, yang mana adalah pembiayaan digital PKS yang pertama di pasaran yang menawarkan pembiayaan sebanyak RM10,000 hingga RM250,000 kepada perusahaan mikro dan PKS dengan cepat lagi senang, melalui permohonan secara atas talian," katanya.


Sejak pelancaran SME Digital Financing pada September 2020, Maybank meluluskan sebanyak RM1.87 bilion pembiayaan kepada lebih daripada 15,000 PKS.


Chong berkata, ketika permulaan pandemik pada April tahun lalu, Maybank melancarkan Sama-Sama Lokal, satu platform dalam talian tanpa komisen untuk membantu penjaja tempatan dan perniagaan kecil, yang kebanyakannya terdiri daripada perusahaan mikro.


Beliau berkata, platform itu telah dibangunkan dalam hanya beberapa minggu selepas pihak bank mengetahui cabaran yang dihadapi oleh peniaga itu akibat kekurangan pelanggan yang mengunjungi premis mereka dan menyebabkan kemerosotan jualan sehingga perniagaan mereka hampir ditutup.



Katanya, dengan Sama-Sama Lokal, peniaga bukan saja dapat memasarkan produk dan servis mereka secara digital dan mempunyai akses kepada 12 juta pelanggan Maybank di Maybank2u, malah mereka juga dapat mendigitalkan perniagaan mereka.


Baru-baru ini, Maybank juga melancarkan aplikasi Maybank2u Biz agar dapat menyenangkan proses perbankan dan perkhidmatan pengurusan perniagaan untuk PKS melalui satu platform saja.


Ciri-ciri utama termasuk kemudahan pengguna untuk memantau aset perniagaan melalui pengantara muka yang mudah digunakan, eksport data transaksi dalam fail CSV untuk digunakan dengan perisian perakaunan pihak ketiga, memberi kelulusan untuk sehingga 10 transaksi dalam satu klik pada bila-bila masa sahaja, dan kemudahan invois yang terbina di dalam aplikasi tersebut, untuk membantu PKS menguruskan transaksi kewangan dan aliran tunai dengan lebih baik.


Sehingga 30 September 2021, lebih 63,000 akaun perniagaan dibuka melalui Maybank2u sejak inisiatif digital dilancarkan pada Februari 2020.



1 view0 comments

Comments


bottom of page