top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Maxis Bimbing Usahawan Kembangkan Niaga


Foto: Maxis


Maxis Bhd menerusi Maxis Business bakal menganjurkan persidangan maya Spark UsahaWIRA secara percuma selama dua hari pada 24 dan 25 Ogos 2021 bagi membimbing pemilik syarikat tempatan dan bakal usahawan mengembangkan perniagaan.


Syarikat telekomunikasi itu berkata, persidangan maya itu akan membolehkan usahawan mendalami arus pendigitalan dan meraih faedah daripada perkembangan teknologi digital, lapor BH ONLINE pada 20 Ogos 2021.


"Persidangan ini akan menampilkan pemacu industri terkemuka, tokoh teknologi dan ekonomi negara, serta ahli-ahli perniagaan tempatan yang berjaya dalam perjalanan keusahawanan digital masing-masing," katanya.


Antara pemacu industri terkemuka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Momentum Internet, Najib Asaddok; Pengasas Mak Cun, Erma Fatima; dan Pengasas Telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman.


Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus, berkata persidangan itu adalah lanjutan kepada program Maxis UsahaWIRA yang dilancarkan Mei lalu, dengan tujuan memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan.


"Kami mendapat inspirasi daripada semangat inovatif dan kreatif dalam kalangan usahawan, terutama PKS yang berjaya merempuh pelbagai rintangan meskipun menghadapi keadaan getir.


"Kini muncul peluang untuk belajar daripada mereka. Kami sangat menggalakkan PKS dan usahawan supaya merebut peluang dan mendaftar untuk menghadiri Spark UsahaWIRA supaya dapat membimbing mereka ke arah memanfaatkan arus digitalisasi.


"Persidangan ini juga selari dengan misi kami untuk membawa teknologi terbaik bagi membantu rakyat, perniagaan dan negara untuk Terus Menerajui dalam dunia yang kian berubah," katanya.





Peserta juga digalakkan menyertai pelbagai sesi bengkel dan mendapatkan akses kepada Panduan Kickstart Digital anjuran Maxis bersama rakan industri iaitu Astro, AmBank, Facebook, Google, iQiyi, MDEC, Microsoft, Momentum Internet, Redbeat Academy, Shopee, TikTok dan Viu.


Selain mempelajari cara mengembangkan perniagaan menerusi digitalisasi seperti e-dagang, pengiklanan media sosial dan mendapatkan lebih ramai pelanggan dalam talian, peserta juga dapat meraih hubungan perniagaan menerusi sesi 'Live Networking'.

4 views0 comments

Comments


bottom of page