top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

MAVCOM: Penumpang Udara Dijangka Melonjak Lebih 500 Peratus, Sehingga 49 Juta



Trafik penumpang udara diunjurkan meningkat antara 316 hingga 525 peratus tahun ke tahun pada 2022, mencatatkan antara 32.6 juta dan 49.0 juta penumpang, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Dalam kenyataan media pada 9 Disember 2021/Khamus bersempena dengan penerbitan edisi ke-10 laporan industrinya, Waypoint berkata ia adalah 30 hingga 45 peratus pemulihan daripada tahap trafik penumpang udara sebelum pandemik pada 2019,


Katanya syarikat penerbangan dijangka mengembangkan kapasiti tempat duduk berperingkat memandangkan permintaan perjalanan terpendam dan penjimatan terakru memacu pertumbuhan trafik penumpang pada 2022.


Laporan Waypoint itu menggariskan prestasi sektor penerbangan Malaysia pada suku ketiga 2021.


Dalam laporan itu, MAVCOM mengetengahkan tanda-tanda awal pemulihan bagi sektor penerbangan tempatan pada September dan Oktober 2021, yang masing-masing merekodkan 56.6 peratus dan 190.2 peratus pertumbuhan trafik penumpang udara bulan ke bulan.

Katanya trafik penumpang udara untuk bulan-bulan berkenaan masing-masing berada pada 5.3 peratus dan 14.9 peratus daripada trafik direkodkan pada bulan sama 2019.


Pengerusi Eksekutifnya berkata jumlah trafik penumpang udara untuk 2021 dijangka lebih hampir kepada unjuran senario terbaik MAVCOM iaitu 6.9 juta hingga 7.8 juta penumpang perjalanan udara.


Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata pelonggaran sekatan perjalanan, gelembung perjalanan, pembukaan semula sempadan antarabangsa ekoran pemberian lancar vaksinasi di Malaysia serta pengenalan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) baru-baru ini ke Singapura menyumbang kepada pemulihan.


Katanya inisiatif ini membolehkan aktiviti pelancongan dimulakan semula dengan petunjuk awal menjuruskan ke arah prospek positif bagi trafik penumpang udara Malaysia pada 2022.


"Perjalanan sektor penerbangan Malaysia ke pemulihan penuh masih jauh.


"Peserta industri penerbangan mungkin masih menghadapi cabaran besar di hadapan dengan kenaikan harga minyak mentah Brent dan bahan api jet yang boleh memberi kesan kepada kos operasi, serta kemungkinan varian baharu COVID-19, termasuk varian Omicron yang merebak dengan pantas.


"Bagaimanapun, kami tetap berharap industri ini akan terus maju, terutamanya apabila kerajaan Malaysia mempertimbangkan untuk membuka semula sempadan bersama beberapa negara lain," katanya.


Mengenai kargo udara, Saripuddin berkata permintaan kekal berdaya tahan, dicerminkan oleh pertumbuhan tahun ke tahun yang ketara sebanyak 19.7 peratus dalam jumlah tan muatan kargo setiap kilometer (FTK) pada suku ketiga 2021.

"Suruhanjaya menjangkakan kargo udara terus kekal penting kepada industri untuk baki 2021 dan pada 2022," kata beliau.


Jelas beliau bagi 2022, trafik kargo udara diunjurkan berkembang antara 3.9 peratus dan 6.7 peratus tahun ke tahun atau 20.8 bilion hingga 21.6 bilion FTK, disokong oleh kemajuan program vaksinasi, pertumbuhan kukuh e-dagang, elektrik dan elektronik serta permintaan daripada rakan dagangan utama Malaysia.



6 views0 comments

Comments


bottom of page