top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Malaysia Sertai Projek Nexus, Turunkan Kos & Percepat Bayaran Rentas Sempadan


Foto: Bank Negara Malaysia


Bank Negara Malaysia (BNM) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa berkaitan suatu pembuktian konsep yang dikenali sebagai Projek Nexus untuk menurunkan kos dan mempercepat pembayaran rentas sempadan.

Dalam satu kenyataan bersama, BNM dan PayNet berkata pembuktian konsep ini akan mengkaji kebolehlaksanaan untuk menghubungkan sistem pembayaran masa nyata di Malaysia, Singapura dan kawasan Eropah.


Dapatan kajian projek itu, dijangka diterbitkan menjelang akhir 2022, akan membantu membangunkan satu rangkaian sistem pembayaran masa nyata global pada masa hadapan bagi membolehkan pembayaran rentas sempadan menjadi lebih pantas dan lancar, kata kenyataan itu.


Prototaip yang akan dibangunkan di bawah pembuktian konsep ini belum boleh digunakan oleh orang ramai buat masa ini.


Berikut adalah kenyataan media penuh Bank Negara Malaysia:

Malaysia akan turut serta dalam Pembuktian Konsep Projek Nexus bagi mencapai pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas dan murah


Bank Negara Malaysia (BNM) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) akan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa tentang suatu pembuktian konsep untuk menurunkan kos dan mempercepat pembayaran rentas sempadan.


Dikenali sebagai Projek Nexus, pembuktian konsep ini akan mengkaji kebolehlaksanaan untuk menghubungkan sistem pembayaran masa nyata di Malaysia, Singapura dan kawasan euro[1] .


Projek ini akan membolehkan pelanggan menghantar dan menerima pembayaran rentas sempadan dengan serta-merta dan selamat.


Dapatan kajian yang dijangka diterbitkan menjelang akhir tahun 2022 akan membantu membangunkan satu rangkaian sistem pembayaran masa nyata global pada masa hadapan bagi membolehkan pembayaran rentas sempadan menjadi lebih pantas dan lancar.


Prototaip yang akan dibangunkan di bawah pembuktian konsep ini belum boleh digunakan oleh orang ramai buat masa ini.


Projek Nexus yang diketuai oleh Bank for International Settlements (BIS) Innovation Hub adalah sejajar dengan G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments). Rakan kongsi antarabangsa lain dalam projek ini ialah Banca d'Italia, Monetary Authority of Singapore (MAS) dan Banking Computer Services Pte Ltd (BCS).


Penyertaan Malaysia dalam Project Nexus melengkapkan usaha sedia ada negara dalam menghubungkan RPP/DuitNow[2] dengan sistem pembayaran masa nyata lain di rantau ASEAN. Jalinan pembayaran antara Malaysia dengan Thailand yang dilancarkan pada bulan Jun 2021 membolehkan pembayaran rentas sempadan masa nyata menggunakan kod QR antara kedua-dua negara.


Perkhidmatan yang dipermudahkan oleh jalinan ini akan diperluaskan lagi pada tahun 2022 untuk menyokong pindahan dana masa nyata dengan hanya menggunakan nombor telefon mudah alih.


Usaha juga sedang giat dijalankan untuk mewujudkan jalinan pembayaran yang sama dengan Indonesia dan Singapura yang masing-masing akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021 dan 2022.


Peningkatan kesalinghubungan antara negara melalui jalinan pembayaran ini akan menjadi pendorong untuk menyokong integrasi ekonomi dan kewangan serantau yang lebih rapat.


Fraziali Ismail, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia berkata Projek Nexus adalah suatu langkah positif untuk pembayaran rentas sempadan.


“Penyertaan kami dalam Projek Nexus menggariskan komitmen Malaysia untuk memperteguh infrastruktur pembayaran utama negara demi masa hadapan. Berlandaskan kejayaan daripada jalinan pembayaran dua hala dengan negara-negara ASEAN lain, inisiatif ini akan membuka jalan kepada RPP/DuitNow untuk berhubung dengan sistem pembayaran masa nyata yang lain di seluruh dunia.


Usaha ini akan menyokong aspirasi bagi membolehkan sistem pembayaran rentas sempadan menjadi lebih pantas, murah dan mudah diakses kepada penduduk Malaysia.”


Peter Schiesser, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet berkata, “RPP/DuitNow merupakan infrastruktur utama untuk memacu pembayaran tanpa tunai dan pendigitalan di Malaysia.


Kami mengunjurkan kira-kira 1 bilion pembayaran masa nyata akan dibuat di Malaysia pada tahun 2021. Projek Nexus memberi kami peluang yang unik untuk menyumbang kepada reka bentuk infrastruktur pembayaran generasi masa depan yang teguh.


Penglibatan kami akan memastikan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan hasil daripada projek ini.”


Bank Negara Malaysia

Payments Network Malaysia Sdn Bhd

10 November 2021


[1] Sistem ini terdiri daripada Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (atau Real-time Retail Payments Platform, RPP/DuitNow) di Malaysia; Fast and Secure Transfers (FAST/PayNow) di Singapura, dan Target Instant Payment Settlement (TIPS) di kawasan euro.


[2] RPP/DuitNow merupakan sistem pembayaran masa nyata di Malaysia yang membolehkan pembayaran dikreditkan ke dalam akaun penerima dengan serta-merta.


2 views0 comments

Comments


bottom of page