top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Krisis Russia-Ukraine Lonjak Harga Produk PPB Group Khususnya Tepung


Produk keluaran PPG Group: Sumber Foto: The Stars

Krisis Russia-Ukraine menambah lagi tekanan kenaikan bahan mentah khususnya tepung menyaksikan PPB Group Bhd terpaksa menaikkan harga produknya sehingga 10 peratus setakat ini.

Pengarah Urusannya berkata sebagai antara pengeluar terbesar gandum dengan komposisi hampir 30 peratus bekalan global, pergolakan di dua negara itu dilihat berpotensi memberi kesan kepada ekosistem bahan mentah global sekali gus menghimpit pengeluar produk makanan.


Lim Soon Huat berkata tekanan disebabkan pergolakan geopolitik itu juga meningkatkan lagi ketidaktentuan harga bahan mentah yang sudah terkesan dengan kenaikan harga komoditi lain, logistik, pengangkutan, cuaca dan kekurangan pekerja akibat COVID-19.


"Kami sudah menyemak semula harga tepung setiap bulan sejak suku ketiga tahun lalu susulan ketidaktentuan ekstrim kos gandum. Sumber bekalan mentah kami juga dari Amerika Syarikat (AS), Australia dan Kanada, dengan sebahagian kawasan di Australia menghadapi musim kemarau melampau.



"Konflik Russia-Ukraine pula akan menyebabkan bekalan gandum terjejas, cuma sukar untuk kami membuat unjuran harga niaga hadapan disebabkan ketidaktentuan besar dan situasi yang tidak pernah terjadi ketika ini.


"Kos tepung merangkumi 85 hingga 95 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pengeluaran bergantung kepada produk dan lokasi. Justeru, kenaikan harga bahan mentah memberi tekanan besar kepada kami untuk mengekalkan harga produk," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media dan penganalisis secara maya, lapor BH ONLINE pada 3 Mac 2022/Khamis.


Niaga hadapan gandum melonjak melepasi AS$10 satu gantang buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun dan jagung melonjak ke paras tertinggi sembilan tahun berikutan konflik Russia-Ukraine.


Peningkatan niaga hadapan juga merangkumi semua rantaian komoditi seperti minyak mentah, minyak kacang soya dan minyak sawit mentah terus berlegar pada paras tertinggi.


Soon Huat berkata, selain gandum, Russia dan Ukraine adalah pembekal jagung yang merangkumi 90 peratus bekalan dunia dan kedua-dua negara itu turut mengeksport 80 peratus bunga matahari.

"Pergolakan juga menyebabkan bahan mentah mungkin tidak boleh dibawa keluar dari Russia dan Ukraine selepas pelabuhan di kedua-dua negara ditutup.


"Kami melihat kenaikan kos yang memberi kesan kepada operasi syarikat dan anak syarikat lain ditambah pula dengan kos untuk menjalankan perniagaan yang turut meningkat.


"Namun, kami akan cuba meminimumkan kos harga dan apabila tiada lagi pilihan, kami akan memindahkan kenaikan yang perlu ditanggung kepada pengguna.


"Ia bergantung kepada sentimen pengguna sebelum keputusan menaikkan harga produk dilakukan," katanya.


Berhubung prospek perniagaan, Soon Huat berkata, tekanan ke atas margin kumpulan akan berterusan tahun ini disebabkan kos bahan mentah yang tinggi, harga komoditi tidak menentu dan peningkatan kos pengangkutan yang berterusan.


"Kami akan terus mengoptimumkan kecekapan operasi bagi mengurangkan kesan peningkatan bahan mentah.


"Segmen produk pengguna menghadapi kos pengeluaran yang lebih tinggi berikutan peningkatan dalam harga komoditi dan kos logistik.


"Walaupun kos meningkat, segmen ini dijangka menunjukkan prestasi yang memuaskan kerana ia terus mengembangkan jangkauan pasarannya melalui saluran perkhidmatan makanan dan platform e-dagang," katanya.


Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, PPB Group meraih pendapatan RM4.86 bilion, meningkat 16 peratus berbanding RM4.19 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.


Untung bersihnya meningkat sedikit kepada RM1.5 bilion pada 2021 dari RM1.36 bilion yang dicatatkan setahun sebelumnya.


Berdasarkan prestasi tahun lalu, PPB Group mencadangkan dividen akhir sebanyak 25 sen sesaham tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan ke-53 yang akan diadakan pada 12 Mei depan.

5 views0 comments

Comentários


bottom of page