top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Kajian: Harga Sewa Rumah Di Lembah Klang Turun




Kajian terkini SPEEDHOME mendapati harga sewa rumah di Lembah Klang lebih rendah pada separuh pertama tahun ini apabila pemilik menurunkan harga permintaan sewa hartanah susulan pandemik COVID-19.

Platform sewaan kediaman tanpa deposit terbesar di Malaysia itu baru-baru ini menerbitkan laporan mengenai Bekalan dan Permintaan Sewa di Lembah Klang untuk separuh pertama 2021.


Laporan itu menunjukkan bahawa jurang jangkaan sewa antara tuan rumah dan penyewa mengecil pada separuh pertama 2021 berbanding separuh pertama 2020.


"Memandangkan COVID-19 menjejaskan pasaran hartanah sewa, pemilik menurunkan harga permintaan sewa mereka, jadi kami dapat melihat median harga permintaan sewa juga menurun sebanyak 2.25 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.


"Oleh itu, jurang jangkaan sewa juga kekal dalam peratusan satu angka pada separuh pertama tahun ini iaitu 6.6 peratus," kata Ketua Pegawai Eksekutif SPEEDHOME, Wong Whei Meng dalam kenyataan media pada 1 Disember 2021/Rabu.


Walaupun jurang jangkaan sewaan semakin mengecil, harga median transaksi sewa keseluruhan menyaksikan peningkatan sebanyak 1.82 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, disumbangkan terutama oleh peningkatan dalam urus niaga di kawasan popular seperti Petaling Jaya, Brickfields dan banyak lagi.


Selain itu, laporan itu juga mendedahkan bahawa kuasa tawar-menawar oleh penyewa kekal kukuh pada separuh pertama 2021 kerana lebih banyak hartanah dijangka memasuki pasaran menyebabkan perubahan dalam pasaran sedia ada yang sudah terlebih bekalan.


Selain itu, laporan terbabit mendedahkan bahawa permintaan sewa oleh setiap penyewa mencatatkan pertumbuhan positif iaitu sebanyak 2.31 peratus, walaupun negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jumlah itu dijangka meningkat selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).


Dalam keadaan pasaran dan persekitaran yang berubah, laporan itu turut berkongsi permintaan kawasan baharu yang muncul di Setia Alam.

"Ini adalah kali pertama dalam tempoh tiga tahun kami melihat kawasan pinggir bandar muncul dalam 20 kawasan permintaan teratas kami dan permintaan semakin meningkat di kawasan itu apabila ia terus berkembang," kata Wong.


Selain itu, tiga kawasan permintaan teratas terus diduduki oleh kawasan matang dengan Petaling Jaya kekal di senarai teratas untuk tahun ketiga berturut-turut diikuti oleh Brickfields, Cyberjaya, Putrajaya dan Setapak.

Dengan julat harga RM1,850 hingga RM2,200, faktor utama yang mendorong permintaan penyewa di kawasan itu adalah kemudahan yang mantap, peluang pekerjaan, lokasi utama dan sewaan mampu milik.


Kebiasaannya, permintaan sewa di Brickfields dan Setapak adalah didorong oleh golongan pelajar dan belia yang bekerja untuk mencari akses mudah kepada pengangkutan manakala permintaan untuk Cyberjaya dan Putrajaya pula didorong oleh harga sewaan berpatutan dan terdapat pelajar universiti di kawasan berkenaan.

6 views0 comments

Comments


bottom of page