top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Kajian Dedah 61 Peratus Pekerja Rancang Tukar Kerja




Laporan Pergerakan dan Pengekalan Pekerja Employment Hero mendedahkan kira-kira 61 peratus pekerja di negara ini merancang menukar pekerjaan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Laporan itu menyebut ia disebabkan gangguan kewangan kerana kesan COVID-19 sukar ditangani oleh ramai pekerja adalah antara sebab mereka mahu berbuat demikian.


Katanya ia kadar tertinggi apabila Malaysia mendahului beberapa negara utama dunia ditinjau iaitu Singapura 59 peratus, Australia (48 peratus), New Zealand (50 peratus) dan United Kingdom (55 peratus).


Employment Hero turut mendedahkan tiga perempat (74 peratus) daripada pekerja yang menerima pemotongan gaji menyatakan mereka mencari kerja baharu pada 2021.


"Ini mungkin tidak mengejutkan, memandangkan lebih ramai pekerja Malaysia (53 peratus) mengalami pemotongan gaji yang ketara semasa pandemik berbanding dengan negara jiran, Singapura (32 peratus)," katanya.


Menerusi kajian itu, didapati bakat muda berusia 35 tahun ke bawah paling bersedia untuk berpindah dari tempat kerja semasa mereka.


Dalam kalangan pekerja Gen Z berumur 18 hingga 24 yang ditinjau di Malaysia, sebanyak 81 peratus merancang menukar jawatan tahun depan, begitu juga 68 peratus pekerja Milenial berumur 25 hingga 34 tahun.


"Bakat muda ini juga paling aktif dalam pencarian kerja dengan 58 peratus daripada Gen Z dan 63 peratus daripada Milenial menyatakan mereka sudah berunding dengan satu pengambil pekerja dalam tempoh enam bulan lalu.


"Sejumlah 29 peratus daripada responden berusia 18 hingga 24 tahun dan 22 peratus lagi yang berusia 25 hingga 34 tahun sudah memohon jawatan dalam tempoh tiga bulan lalu," kata laporan itu.


Berdasarkan penyelidikan oleh Employment Hero yang meninjau 1,004 pekerja Malaysia, mendapati majoriti pekerja menyukai (45 peratus), malah menggemari (24 peratus) peranan mereka dengan hanya minoriti (empat peratus) menyatakan mereka tidak suka atau membenci pekerjaan sekarang.


"Ini menunjukkan kerja yang mereka laksanakan bukan masalahnya," menurut laporan itu.


Sebab utama mereka mahu meninggalkan organisasi adalah kekurangan pembangunan kerjaya (36 peratus), diikuti kekurangan penghargaan atau pengiktirafan (27 peratus) dan peluang latihan (26 peratus).

Antara sebab lain adalah ketiadaan kenaikan gaji, masalah pengurusan, berasa bekerja terlalu kuat dan kekurangan fleksibiliti.


Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Employment Hero berkata isu kehilangan bakat atau 'brain drain' terbukti menjadi kebimbangan, dengan 72 peratus pekerja Malaysia mempertimbangkan untuk bekerja di luar negara.


"Antara sebab utamanya ialah gaji dan prospek kerjaya yang lebih baik.


Pandemik memberi pelbagai sebab kepada bakat untuk mengubah hala tuju dalam kerjaya mereka atau meneroka ke luar negara seiring dengan dunia yang semakin terbuka.


"Petunjuk terbesar bahawa sesuatu perlu diubah ialah apabila 24 peratus warga Malaysia menyatakan bahawa mereka 'gemar' pekerjaan sekarang dan 45 peratus menyatakan mereka 'menyukainya', tetapi kebanyakannya merancang untuk meninggalkannya.


"Ini adalah masalah bagi majikan tempatan dan seharusnya mendorong ramai majikan menilai semula dasar, budaya kerja serta strategi pengekalan mereka," kata Ben Thompson.


Beliau berkata, dalam pasaran yang didorong oleh calon berkaitan, majikan perlu mengubah pemikiran untuk mengutamakan warga kerja.


"Sebagai contoh, majikan boleh menyediakan laluan pembangunan kerjaya yang kukuh untuk kakitangan, melabur dalam peningkatan kemahiran dengan menawarkan program latihan atau bimbingan, memberi hari cuti tambahan atau menawarkan pengaturan kerja fleksibel serta sesuai untuk pekerjaan jarak jauh.


"Apa yang penting adalah setiap majikan perlu berupaya untuk mengenal pasti isu unik dalam organisasi mereka sendiri dan menanganinya melalui strategi pengekalan yang lebih luas, yang boleh membantu mereka mendapatkan serta mengekalkan bakat hebat.


"Akhirnya, pekerja akan kekal dengan syarikat yang memberikan sokongan dan meninggalkan syarikat yang tidak menyokong mereka," katanya.

2 views0 comments

Komentáře


bottom of page