top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Kajian Dapati Separuh Rakyat Malaysia Beli-Belah Dalam Talian




Kajian syarikat pengurusan perunding berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Bain & Company mendapati Kira-kira 47 peratus pengguna di Malaysia beralih kepada kaedah dalam talian sebagai saluran paling kerap digunakan untuk melakukan pembelian barangan.

Katanya hasil kajian itu mendapati penerimaan dan keterbukaan yang luas terhadap trend membeli belah dalam talian menyebabkan pengguna beralih kepada kaedah itu bagi semua kategori produk dengan paling ketara adalah produk runcit dan perabot.


"Kadar penembusan digital yang lebih tinggi bermakna pengguna di Malaysia dapat mengakses pelbagai pilihan dan nilai yang lebih baik yang selalunya lebih baik untuk pengguna," kata Rakan Kongsi Bain & Company, Gwendolyn Lim lapor BH Online pada 19 Oktober 2021/Selasa.


Firma itu menjangkakan segmen e-dagang memiliki prospek cerah dan terus berkembang, disokong populasi dewasa yang matang dan sangat celik digital.




Lim berkata, jangkaan itu bersandarkan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) e-dagang Malaysia yang melonjak ketara 87 peratus tahun ke tahun kepada AS$15 bilion (RM62.3 bilion) bagi tempoh 2020 hingga 2021.


Katanya pengguna Malaysia membeli 50 peratus lebih banyak secara dalam talian berbanding tahun lalu, didorong terutama oleh sekatan COVID-19.


"Kategori seperti barangan runcit dan penjagaan diri serta kecantikan memperoleh jualan tinggi, dengan lonjakan bahagian runcit atas talian masing-masing sebanyak 4.2 kali ganda dan 2.1 kali ganda," katanya.


Beliau berkata, Malaysia mempunyai populasi besar yang celik digital membabitkan pengguna berumur 15 tahun ke atas melakukan transaksi komersial dalam talian.


Katanya, negara ini juga mempunyai nisbah pengguna digital tertinggi di Asia Tenggara iaitu sehingga 88 peratus responden dan firma itu percaya penembusan digital yang tinggi itu disebabkan oleh gaya hidup bekerja dari rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2020.


Beliau menjelaskan, pengguna Malaysia memanfaatkan sepenuhnya pembelian menerusi saluran omni, dengan 80 peratus masa digunakan sebelum memuktamadkan pembelian.


"Namun, kajian kami menunjukkan ruang untuk terus maju yang lebih besar memandangkan jualan dalam talian hanya menyumbang kepada 57 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan.


"Pasaran e-dagang tetap menjadi saluran dengan pembelian terbanyak di Malaysia, merangkumi 43 peratus daripada jumlah pembelian dalam talian, peratusan tertinggi di Asia Tenggara," katanya.


Lim berkata, perdagangan sosial iaitu aktiviti beli belah dalam talian yang berlaku di laman media sosial juga sangat berpengaruh dan meningkat secara mendadak semasa pandemik.


Tambah beliau pengguna sangat dipengaruhi oleh kandungan digital. Peranan saluran digital jauh melebihi saluran luar talian untuk penemuan dan membuat pertimbangan.


"80 peratus masa pengguna Malaysia digunakan dalam talian semasa fasa penemuan. Lebih daripada 40 peratus pembelian didorong oleh penemuan.


"Ini adalah trend untuk dimanfaatkan kerana 63 peratus pembeli tidak tahu produk apa yang mereka ingin beli atau dari mana mereka mahu membelinya," katanya.



1 view0 comments

Comments


bottom of page