top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Kajian Dapati Penumpang Guna Perjalanan Udara Meningkat




Tinjauan Pengguna dijalankan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendapati sejumlah 60 peratus daripada 1,000 responden menyatakan hasrat untuk melakukan perjalanan udara melancong ke destinasi dalam negara.

Menurut MAVCOM, kaji selidik yang diterbitkan pada 1 Oktober 2021/Jumaat adalah untuk mengenalpasti harapan dan jangkaan penumpang penerbangan mengenai perjalanan udara selepas penularan wabak COVID-19.


Katanya, tinjauan berkenaan dilaksanakan di antara Februari dan Mei 2021 dan membabitkan responden dari Malaysia yang menaiki penerbangan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan sebelum tinjauan ini dijalankan dan bersedia untuk menaiki penerbangan dalam tempoh 12 bulan ke hadapan.


"Tinjauan Suruhanjaya dikendalikan NielsenIQ, menunjukkan peningkatan dalam jangkaan dan harapan terhadap perjalanan udara, di mana 60 peratus daripada 1,000 responden menyatakan harapan mereka melakukan perjalanan udara ke destinasi dalam negara.


"Antara sebab dinyatakan bagi pilihan perjalanan udara domestik termasuklah kos perjalanan lebih rendah, risiko pendedahan tinggi terhadap COVID-19 sekiranya melakukan perjalanan udara ke destinasi antarabangsa serta responden yang tinggal bersama ahli keluarga berisiko tinggi," katanya dalam kenyataan media pada 1 Oktober 2021/Jumaat.


Katanya, responden yang selebihnya iaitu sebanyak 40 peratus memilih perjalanan udara ke destinasi antarabangsa.



"Sebanyak 72 peratus daripada responden ini memberi pertimbangan untuk mengunjungi destinasi-destinasi di Asia, dengan tiga negara pilihan teratas adalah Jepun, China dan Korea Selatan.


"Hasil tinjauan menunjukkan bahawa titik sentuh (touchpoints) perjalanan utama di lapangan terbang perlu direka semula untuk merangkumi langkah-langkah bagi pengawalan khalayak ramai dan penjarakan sosial, sanitasi berkala, serta penyediaan kemudahan tanpa sentuh.


"Tinjauan ini juga menekankan bahawa penggunaan teknologi digital seperti dokumen perjalanan tanpa kertas dan kemudahan e-pembayaran, antara lain, adalah beberapa perkara yang dijangka dan menjadi harapan pengguna," katanya.


MAVCOm berkata, di samping itu, tinjauan ini menegaskan penguatkuasaan prosedur standard operasi (SOP) COVID-19 dalam mewujudkan pengalaman perjalanan dari mula hingga akhir yang selamat amat diperlukan untuk meningkatkan keyakinan penumpang penerbangan.




3 views0 comments

Bình luận


bottom of page