top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Kajian Dapati Harga Tinggi Halang B40, M40 Miliki Rumah




Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2021 PropertyGuru mendapati harga tinggi penghalang utama pencari rumah walaupun empat daripada lima rakyat berhasrat membeli hartanah.

PropertyGuru Malaysia dalam kenyataan media pada 5 Oktober 2021/Selasa mencadangkan Belanjawan 2022 menjadikan pemilikan rumah lebih mudah bagi golongan B40 dan M40.


Peneraju laman web hartanah itu mencadangkan Belanjawan 2022 perlu merangsang sektor hartanah, memberikan bantuan kewangan serta mempromosi kelestarian untuk terus menyokong pertumbuhan dan pemulihan.


Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia berkata meskipun kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan membantu pemilik hartanah dan menyokong sektor hartanah, kajian sama mendapati 84 peratus rakyat percaya lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk menjadikan perumahan lebih mampu milik.


Malah, katanya 58 peratus mahu Kempen Pemilikan Rumah (HOC) diperluaskan ke hartanah sekunder.


"HOC membantu ramai pembeli rumah kali pertama membeli hartanah dalam beberapa tahun ini dan berjaya mendorong aktiviti pasaran hartanah yang perlahan.
"Diharap kerajaan bukan saja melanjutkan HOC hingga ke tahun depan, tetapi turut memperluaskan insentif ditawarkan di bawah kempen ini ke pasaran kediaman sekunder," kata Sheldon Fernandez.

Selain memberi sokongan kepada pembeli rumah pertama, Sheldon berkata, perlu ada usaha membantu mereka yang berjuang mengekalkan kediaman mereka semasa pandemik melanda.


Pihaknya menggesa kerajaan mempertimbangkan pelepasan cukai pendapatan ke atas faedah terkumpul pinjaman perumahan setelah moratorium berakhir, kerana ia membantu meringankan beban isi rumah.


Katanya, PropertyGuru Malaysia berharap kerajaan melanjutkan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CHKT) ke tahun depan atau menurunkannya sementara rakyat dan pasaran hartanah masih dalam proses pemulihan.


"Diharap kerajaan memperkenalkan insentif sewa yang dapat memberi manfaat penyewa dan tuan rumah.


"Sebagai contoh, kerajaan New South Wales di Australia memperkenalkan insentif kewangan yang boleh dituntut tuan rumah yang memberikan pengurangan sewa kepada penyewa terkesan COVID-19.


"Inisiatif sama boleh dilaksanakan di Malaysia untuk membantu penyewa yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik dan tidak dapat membayar sewa mereka buat sementara waktu," katanya.



4 views0 comments

Коментарі


bottom of page