top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Jualan Kenderaan Pada April 2022 Susut 23% Disebab Cip Kurang




AUTOMOTIF | Jualan kenderaan pada April 2022 susut 23 peratus kepada 56,213 unit, berbanding 73,222 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam kenyataan media pada 20 Mei 2022 berkata kemerosotan jualan pada bulan April dikaji disebabkan isu kekurangan cip dan komponen, selain kelewatan penghantaran yang menjejaskan beberapa syarikat pengeluar.


"Kebanyakan jualan telah dipenuhi oleh syarikat pengeluar yang memiliki tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022," katanya.


Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) pada April berada pada 56,213 unit merangkumi 49,815 unit kereta penumpang dan bakinya 6,398 unit adalah kenderaan komersial.


Bagi tempoh Januari hingga April, industri automotif negara menjual 215,965 unit kenderaan membabitkan 190,405 unit kereta penumpang dan 25,560 kenderaan komersial adalah lapan peratus lebih tinggi berbanding 200,043 unit yang dijual tempoh sama tahun lalu.


Dari aspek pengeluaran pula, industri automotif tempatan telah menghasilkan 54,734 unit kenderaan pada April merangkumi 50,724 unit kereta penumpang dan 4,010 kenderaan komersial.


Jumlah itu lebih tinggi berbanding 51,390 unit kenderaan dihasilkan pada April 2021.


Bagi tempoh Januari hingga April 2022, sejumlah 208,894 unit kenderaan dikeluarkan, lebih tinggi berbanding 198,476 unit yang dihasilkan tempoh sama tahun lalu.


Mengenai unjuran jualan pada Mei, MAA berkata, jumlah jualan pada bulan ini dijangka kekal pada paras jualan yang dicatatkan pada April.


"Ini disebabkan jumlah hari bekerja yang lebih pendek susulan cuti perayaan, selain disebabkan isu kekurangan cip dan komponen, selain kelewatan penghantaran yang menjejaskan beberapa syarikat pengeluar," katanya.

2 views0 comments

Comments


bottom of page