top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Jualan Kenderaan Meningkat Kepada 63,489 Unit Pada Okt 2021



Jualan kenderaan di Malaysia meningkat kepada 63,489 unit pada Oktober lalu berbanding 57,695 unit pada bulan sama tahun lalu, demikian menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

MAA dalam kenyataan media pada 17 November 2021/Rabu berkata, jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 56,881 unit pada Oktober 2021 daripada 52,806 unit pada Oktober 2020, manakala jualan kenderaan komersial meningkat kepada 6,608 unit daripada 4,889 unit.


Ia berkata, dari segi perbandingan bulan sebelumnya, jumlah jualan untuk Oktober lalu juga meningkat 43 peratus daripada 44,275 unit pada September 2021.


"Jumlah jualan yang lebih tinggi pada Oktober 2021 disebabkan pengeluaran dan penghantaran dilaksanakan semula oleh syarikat kereta.


"Ini adalah kali kedua jumlah keseluruhan industri (TIV) bulan melebihi 60,000 unit. Selain itu, kembalinya operasi perniagaan turut memberikan impak kepada lonjakan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Bagi 10 bulan pertama tahun ini, MAA bagaimanapun berkata jualan merosot kepada 382,379 unit berbanding 401,714 unit dalam tempoh sama tahun lalu.


Dari segi jumlah pengeluaran, MAA berkata sebanyak 65,410 kenderaan dikeluarkan pada Oktober 2021 berbanding dengan 58,631 unit pada bulan sama tahun lalu.


"Pengeluaran kenderaan penumpang meningkat kepada 61,248 unit pada Oktober 2021 berbanding 55,063 unit pada tahun lalu manakala pengeluaran kenderaan komersial juga naik 4,162 unit daripada 3,568 unit sebelumnya," katanya.


Mengenai unjuran untuk November 2021, MAA menjangkakan jumlah jualan tetap stabil pada tahap Oktober selain promosi akhir tahun yang dilaksanakan syarikat kereta.

1 view0 comments

Comments


bottom of page