top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Inisiatif Halal PKS Bantu Pasar Produk Halal Global


Foto: Maybank


Inisiatif Halal Route to Market Program (HalMap) diperkenalkan Maybank Islamic Bhd bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk halal ke pasaran luar negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic


Datuk Mohamed Rafique Merican dalam kenyataan media pada 17 Ogos 2021/Selasa menjelaskan program itu dimulakan dengan pemilihan sepuluh PKS yang layak bagi menceburi pasaran makanan halal di Singapura.


Katanya PKS dibekalkan dengan platform pengedaran, perkhidmatan nasihat dan latihan untuk memasarkan produk mereka dalam sektor barang pengguna laris atau 'Fast Moving Consumer Goods' (FMCG).


"10 PKS itu dijangka dapat mempromosikan 50 produk mereka di Eccellente by HAO Mart, Kinex Mall Singapura, pada suku keempat tahun ini," katanya.


Tambah beliau Maybank Islamic juga menjalinkan hubungan kerjasama strategik dengan amaxMALL Sdn Bhd (amaxMALL) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk menjayakan program ini.


"Kerjasama dengan amaxMALL dan MATRADE adalah sebahagian daripada usaha berterusan bank memanfaatkan pasaran halal serta meningkatkan jumlah syarikat baharu sekaligus membantu perkembangan eksport.
"Ia juga sebahagian daripada pelan kami bagi menyediakan akses ke pasaran luar untuk PKS tempatan," katanya.

Mohamed Rafique berkata, HalMap dapat menjadi saluran baharu disamping memberi peluang tambahan kepada pelanggan PKS Maybank Islamic memperluaskan operasi disebalik cabaran COVID-19.


Beliau berkata, bank berharap inisiatif itu dapat membantu memastikan PKS tempatan tetap berdaya tahan, walaupun sedang menghadapi banyak rintangan dan cabaran ketika ini.


Bank juga katanya komited untuk membantu bukan sahaja pelanggan PKS, tetapi juga pelanggan perbankan perniagaan dan perniagaan korporat untuk mengembangkan peluang perniagaan halal mereka.


"Empat skop menjadi fokus utama kami dalam mendorong pertumbuhan rantaian bekalan halal, iaitu kesedaran, pembiayaan, kemampuan dan peningkatan kapasiti serta akses pasaran," katanya.

2 views0 comments

Comments


bottom of page