top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

i-City Malaysia Lokasi Baharu Operasi Maybank


Foto Sumber : NST


Projek pembangunan ultrapolis perdana, i-City Malaysia bakal menjadi kawasan kewangan antarabangsa dan menjadi lokasi baharu operasi Malayan Banking Bhd (Maybank).

Firma perbankan itu bakal menempatkan ruang pejabatnya di Menara Sumurwang yang bakal dikenali semula sebagai Mercu Maybank di i-City Malaysia.


I-Bhd, pemaju utama i-City Malaysia dalam kenyataan media pada 11 November 2021/Khamis berkata, keputusan itu sebahagian daripada pengurusan kesinambungan perniagaan dan perancangan daya tahan Maybank yang berterusan untuk memastikan perniagaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.


"Mercu Maybank akan berfungsi sebagai antara pejabat gantian kekal bagi memenuhi pengaturan kerja baharu akibat pandemik COVID-19 merangkumi pekerjaan hibrid untuk pelbagai fungsi dalam operasi perbankan," katanya.


Pengerusi I-Bhd berkata i-City Malaysia adalah penyelesaian ideal di lokasi strategik dengan infrastruktur teknologi terkini yang membolehkan perniagaan berpindah dan beroperasi dengan lancar.


Tan Sri Lim Kim Hong berkata, lokasi strategik i-City Malaysia adalah salah satu kekuatan untuk menarik pelaburan baharu dalam industri bernilai tinggi seperti kewangan dan teknologi maklumat.


Justeru, kumpulan katanya gembira dengan keputusan pengembangan operasi Maybank secara strategik bersama i-City Malaysia.


"Dengan kemasukan Maybank ke menara korporat Gred A pertama i-City, GBI, kami berjaya mencapai 80 peratus kadar pengambilan dalam tahun pertama selepas siap walaupun berdepan situasi sukar akibat pandemik.


"Menara korporat berstatus MSC ini akan menjadi pusat kepada institusi kewangan, syarikat multinasional dan logistik antarabangsa," katanya.


Mercu Maybank dengan ketinggian 33 tingkat itu adalah komponen utama i-City Malaysia menjadi hab kewangan serta lokasi kepada 500 syarikat global.


Bandar teknologi itu diperkasakan dengan infrastruktur lengkap merangkumi akses internet khusus (DIA) yang dikuasakan oleh rangkaian ketersediaan tinggi berkeupayaan 400G.


Kim Hong, berkata kerancakan sektor kewangan i-City digambarkan melalui kehadiran peneraju industri yang turut meningkatkan keyakinan pengembangan pembangunan.


Beliau berkata, I-Bhd akan mempertingkatkan usaha menarik lebih banyak projek terkemuka dan perintis bertapak di i-City.


"Institusi asing juga digalakkan untuk melaksanakan pelaburan bersama atau operasi milik penuh dalam sekuriti, dana, niaga hadapan, insurans, pengurusan pencen dan nasihat dana.


"Ia juga turut memberi peluang pekerjaan yang lebih berkualiti dan berpendapatan tinggi. Pendekatan pintar terhadap aktiviti ekonomi akan meningkatkan kecekapan, membuka pasaran baharu serta melonjakkan produktiviti dan keluaran ekonomi," katanya.


i-City Malaysia apabila siap sepenuhnya kelak akan menempatkan 25,000 penduduk dan 30,000 pekerja berkemahiran tinggi.

0 views0 comments

Kommentare


bottom of page