top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Hartalega Catat Untung RM2.26 Bilion


Foto Sumber: Tangkap Layar Hartalega


Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) memulakan tahun kewangan baharu lebih kukuh apabila mencatat untung bersih tertinggi berjumlah RM2.26 bilion bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2021.


Hartalega dalam kenyataan berkata prestasi positif dicatatkan kumpulan itu dipacu lonjakan dalam pendapatan mencecah RM3.90 bilion pada suku tahun dikaji.


"Prestasi lebih baik kumpulan bagi suku tahun disokong oleh pendapatan jualan lebih tinggi, yang dicapai berasaskan kenaikan harga purata dan peningkatan jumlah jualan, walaupun angka itu diimbangi sebahagiannya oleh kenaikan harga bahan mentah," katanya.


Pendapatan sesaham (EPS) bagi suku pertama meningkat kepada 66.08 sen manakala aset bersih sesaham bernilai RM1.91 setakat pada 30 Jun 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong, berkata menuju ke hadapan, walaupun harga jualan purata bagi sarung tangan nitril telah turun daripada tahap tertinggi, permintaan global dijangka terus meningkat, lebih-lebih lagi dengan gelombang baharu varian COVID-19 yang melanda banyak negara di seluruh dunia.


"Dalam tempoh jangka panjang, peningkatan struktur permintaan dalam sektor sarung tangan akan terus memacu pertumbuhan, berasaskan pertambahan penggunaan sarung tangan oleh negara-negara sedang membangun dengan penggunaan sarung tangan per kapita yang rendah dan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kebersihan.


"Untuk memenuhi pertumbuhan permintaan ini, Hartalega akan meneruskan rancangan pengembangan operasi kami menerusi Kompleks Pengilangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) dan NGC 1.5," katanya.


Beliau berkata setakat ini, lapan daripada 10 barisan pengeluaran Kilang 7 NGC telah ditauliahkan. Apabila siap sepenuhnya, Kilang 7 mempunyai kapasiti tersedia sebanyak 2.7 bilion keping setahun.


Sementara itu, Mun Leong berkata, kerja pembinaan yang dilaksanakan mengikut rancangan pengembangan akan datang syarikat apabila NGC 1.5, kini giat dibangunkan dengan barisan pengeluaran pertama dijadualkan siap menjelang Disember tahun ini.


"Apabila siap sepenuhnya, NGC 1.5 yang terdiri daripada empat kemudahan pengilangan akan menyumbang 19 bilion keping sarung tangan kepada kapasiti terpasang tahunan kami.


"Dengan rancangan pengembangan ini, kapasiti tersedia tahunan kumpulan dijangka meningkat kepada 63 bilion keping dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya.

1 view0 comments

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page