top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Harga Sawit Diunjur RM5,000-RM5,500 Separuh Pertama 2022 - Sime Darby


Pengeluaran sawit di Malaysia diunjur mencatatkan peningkatan ketara tahun 2022, sekali gus mendorong rali dalam harga minyak boleh dimakan itu. Sumber Foto: Bisnes Selangor


KOMODITI | Sime Darby Plantation Bhd (SDP) menjangka harga minyak sawit mentah (MSM) berlegar pada paras RM5,000 ke RM5,500 satu tan pada separuh pertama tahun 2022, kata Pengarah Urusan Sime Darby Oils.

BH ONLINE pada 18 Februari 2022/Jumaat melaporkan Mohd Haris Mohd Arshad, berkata masalah bekalan berikutan kekurangan tenaga kerja di ladang, keadaan cuaca yang tidak menentu, konflik geopolitik dan harga minyak mentah yang tinggi mendorong harga MSM terus meningkat.


Beliau berkata, pihaknya tidak menjangkakan pengeluaran sawit di Malaysia akan mencatatkan peningkatan ketara tahun ini, sekali gus mendorong rali dalam harga minyak boleh dimakan itu.


"Kami jangka harga berlegar sekitar RM5,000 ke RM5,500 satu tan pada separuh pertama. Harga dijangka menurun dengan pemulihan pengeluaran dan kembalinya tenaga kerja, namun ia tidak akan kembali ke paras sebelum ini (sekitar RM2,500 ke RM3,000 satu tan)," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan SDP bagi tahun kewangan 2021 secara maya pada 18 Februari 2022.


Mengenai permintaan, Mohd Haris berkata, harga MSM yang tinggi mengehadkan jumlah belian terhadap komoditi itu.


Beliau berkata, pembeli utama MSM, China dan India terus membeli minyak sawit, namun ia dilaksanakan pada kadar perlahan berikutan harga tinggi.


Mengenai impak pelaksanaan peraturan baharu oleh Indonesia yang mana pengeluar minyak sawit di negara itu perlu menjual 20 peratus pengeluaran mereka kepada pengilang penapisan tempatan pada harga tetap, Mohd Haris berkata, pelaksanaan itu hanya memberi kesan dari segi kerugian peluang saja dan tidak memberi kerugian dari segi kewangan kepada syarikat.


Sementara itu, mengenai tindakan selanjutnya oleh SDP bagi menyelesaikan isu larangan kemasukan produk sawitnya ke Amerika Syarikat (AS) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP), Ketua Pegawai Kewangan SDP, Renaka Ramachandran, berkata kumpulan perladangan itu dijangka akan menghantar laporan kepada pihak berkuasa AS itu dalam suku pertama tahun ini.


Beliau berkata, SDP akan terus berhubung secara rapat dengan CBP AS untuk menyelesaikan isu berkenaan.

5 views0 comments

Comentários


bottom of page